Artikel

GSC Kini Secara Rasminya Miliki Majoriti Aset Pawagam MBO

Golden Screen Cinemas (GSC) kini mengumumkan secara rasminya perolehan majoriti aset pawagam MBO telah diselesaikan, dicapai bersama MCAT Box Office dan Reel Entertainment.

Seperti yang umum ketahui, GSC pada awal Mac lalu telah mengumumkan untuk mengambil-alih majoriti aset pawagam MBO dan perjanjian tersebut telah dibentuk sejak 23 Februari lalu.

Sebagai sebahagian daripada pemerolehan, GSC telah memperoleh sejumlah 18 lokasi MBO yang terdiri daripada 143 skrin, yang secara efektif meningkatkan bahagian skrin GSC dari 36% menjadi 44%.

Pawagam ini merangkumi beberapa pawagam baharu dan aset USP, serta meliputi aset pawagam seperti MX4D, BIG SCREEN, KECIL, PREMIER, Dolby Atmos, dan Cafecito. Selanjutnya beberapa di antara operasi tersebut akan dijenamakan semula agar bersesuaian dengan konsep GSC.

GSC juga turut menyatakan – melalui perolehan ini, ia seiring dengan pembukaan pawagam yang menyaksikan pelbagai tayangan menarik bakal disiarkan pada suku keempat 2021 sehingga 2022 kelak, pawagam akan mengorak langkah pemulihan dengan tayangan Shang-Chi.

Adanya penyelesaian perolehan ini, ia secara langsung meningkatkan perluasan rangkaian GSC kepada para pengguna. Untuk makluman, sebelum ini GSC memiliki sekitar 344 skrin di 34 buah lokasi di Malaysia. MBO pula memiliki cawangan operasi di sekitar 10 negeri di Malaysia.