Artikel

E-Filing Dibuka 1 Mac 2026 – Ini Info Dan Cara Pembayar Cukai Lapor Pendapatan

Bulan Mac setiap tahun menandakan bermulanya tanggungjawab penting buat pekerja di Malaysia untuk melunaskan tanggungjawab percukaian mereka. Ini kerana bermula 1 Mac 2026, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) membuka sistem e-filing bagi membolehkan pembayar cukai melaporkan pendapatan mereka menerusi Borang Nyata Tahun Taksiran 2025. 

Dan ke arah persediaan itu, Rnggt pasti ramai pembayar cukai baharu tidak mengetahui akan kelayakan untuk melaporkan pendapatan kepada LHDN serta apa langkah awal yang perlu difahami untuk melunaskan tanggungjawab tersebut.

Siapa Yang Perlu Laporkan Pendapatan?

Secara asasnya, mana-mana individu yang menerima pendapatan penggajian tahunan melebihi RM 37,333 (selepas potongan KWSP) dan mereka yang mempunyai Potongan Cukai Bulanan adalah kumpulan yang layak untuk menfailkan percukaian mereka.

Sekiranya tahap pendapatan tahunan anda mematuhi syarat tersebut, maka anda perlu menghantar borang pelaporan pendapatan menerusi sistem e-Filing MyTax LHDN. Tetapi, jangan bimbang, kelayakan ini sekadar menuntut pembayar cukai untuk melaporkan pendapatan sahaja. Tindakan ini tidak bermakna anda tergolong dalam kumpulan yang perlu membayar cukai. Jadi siapa yang terlibat dalam kategori pembayar cukai yang tidak dikenakan cukai?

Golongan Yang Tidak Dikenakan Cukai

Berdasarkan maklumat sedemikian, ini bermakna biarpun pembayar cukai telah memenuhi kriteria asas laksana PCB dan meraih pendapatan tahunan RM37,333 tetapi terdapat beberapa golongan yang telah disenaraikan LHDN yang mengecualikan individu terlibat daripada tindakan pembayaran cukai.

Pengecualian ini didasari berasaskan pendapatan kasar tahunan ditolak dengan pelepasan asas individu bersama rebat cukai yang layak.

Kenapa Kena Bayar Cukai?

Dengan kutipan hasil cukai ini, kerajaan Malaysia akan menggunakannya untuk manfaat mentadbir dan mengurus di bawah perbelanjaan pembangunan.

Melalui perolehan itu, hasil kutipan cukai tersebut akan dibelanjakan bagi tujuan keselamatan negara dan rakyat, pembangunan fizikal dan infrastruktur seperti jalan raya, hospital, sekolah serta pembangunan ekonomi dan sosial seperti perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan kebajikan rakyat. Ini juga termasuklah pada inisiatif bantuan ekonomi yang dilaksanakan pada fasa tertentu.

Hantar Borang Cukai Menerusi MyTax

Selain menggunakan kaedah manual yang memerlukan anda menghantar Borang Nyata ke Seksyen Pengurusan Rekod dan Maklumat Percukaian LHDN secara fizikal. Kini, para pembayar cukai boleh memanfaatkan sepenuhnya saluran digital melalui portal MyTax LHDN. Prosesnya lebih mudah, anda hanya perlu log masuk menggunakan jenis nombor pengenalan yang didaftarkan dan mengemas kini maklumat pendapatan berdasarkan Penyata EA atau EC yang diberikan oleh majikan. Menariknya, bagi tahun 2026 kaedah log masuk telah dipertingkatkan dengan ketersediaan akses melalui MyDigital ID yang dilihat lebih cekap dan pantas.

Bagi pembayar cukai kali pertama atau kumpulan yang baru memulakan kerjaya, anda perlu mendapatkan No. PIN terlebih dahulu untuk mengaktifkan Sijil Digital di portal MyTax. Walaupun kedengaran teknikal, namun anda tidak perlu lagi hadir ke kaunter LHDN secara fizikal. Permohonan No. PIN kini boleh dilakukan sepenuhnya secara atas talian melalui borang maklum balas di portal rasmi MyTax. Integrasi MyDigital ID juga memudahkan proses pendaftaran dan log masuk tanpa memerlukan dokumentasi yang rumit, sekali gus menjimatkan masa anda.

Sementara untuk kumpulan pekerja tertentu pula, persediaan dokumen sokongan adalah sangat kritikal. Pekerja yang menerima komisen tambahan dinasihatkan untuk menyediakan dokumen CP58, manakala pembayar cukai yang menjalankan perniagaan wajib menyediakan Penyata Untung Rugi. Dengan adanya dokumen ini, anda dapat mengelakkan ralat semasa pengisian dan memastikan tanggungjawab percukaian anda selesai dengan sempurna sebelum tarikh akhir.

Ini Senarai Pelepasan Cukai Pendapatan Individu 2025

Bersama panduan ringkas pelaporan pendapatan di atas, untuk mengetahui lanjut akan status kategori anda sebagai pembayar cukai – kini semua pihak sudah boleh menyemak Senarai Pelepasan Cukai Pendapatan 2025 bagi e-Filing 2026 untuk memahami pengiraan cukai bermula 1 Mac ini. Ini senarai untuk semakan lanjut~