Kerajaan negeri Pulau Pinang kini mencapai persetujuan menaikkan rebat cukai tanah bagi tahun 2026 daripada 32.5% kepada 50% untuk ringankan bebanan pemilik tanah, di samping memastikan peralihan pada kadar baharu cukai dapat dilaksanakan secara terkawal.
Seperti yang umum ketahui, bermula 1 Januari 2026 kelak Pulau Pinang akan naikkan cukai tanah ke atas pengguna setelah 30 tahun iaitu sejak 1994 tidak melakukan sebarang pelarasan kadar cukai tersebut.
Maka dengan peningkatan rebat cukai tanah usaha ini menurut notis ia dilihat akan memberi kelegaan kepada penduduk negeri dan memastikan keseimbangan kepada kepentingan pemilik tanah. Selain pengumuman ini, kerajaan negeri turut memaklumkan akan pertimbangkan permohonan rayuan berhubung pengurangan cukai tanah, tunggakan atau tunggakan denda. Namun pertimbangan ini hanya terpakai pada kes tertentu sahaja.
Secara menyeluruh bil cukai tanah akan diposkan kepada semua pemilik tanah pada pertengahan bulan Januari tahun depan, berikutan urusan cetakan kadar cukai baharu hanya bermula pada awal Januari 2026. Semua pemilik tanah boleh membuat semakan dan bayaran bil cukai secara dalam talian bermula pada 2 Januari 2026.