Untuk memastikan hasil negeri mencapai peningkatan yang baik, selain mengurangkan tunggakan dan ketirisan cukai tanah – Pulau Pinang memaklumkan akan menaikkan cukai tanah bermula 1 Januari 2026 kelak. Pertimbangan ini didasari berikutan kadar cukai tersebut kali terakhir disemak pada 30 tahun lalu iaitu tahun 1994.
Makluman ini bermakna, penduduk Pulau Pinang perlu membayar tambahan RM0.16 sen bagi cukai tanah setiap 1m persegi selaras dengan Seksyen 101 Kanun Tanah Negara (Akta 828) melalui Warta Kerajaan Negeri Pulau Pinang No. 37 bertarikh 11 September 2025.
Berdasarkan pengumuman kadar baharu ini, Ketua Menteri Chon Kon Yeow memaklumkan sekitar 370,000 pemilik geran bakal terkesan meliputi beberapa kategori bangunan dan tanah. Namun diberi jaminan, perubahan kadar tersebut tidak akan alami kenaikan untuk 10 tahun mendatang dan penawaran rebat cukai sebanyak 32.5% pada 2026, 20% (2027 dan 2028).
Dengan pelarasan kadar cukai tanah itu, Pulau Pinang optimis usaha ini akan membantu negeri menjana hasil sekitar RM200 juta pada 2026 kelak. Perolehan hasil tambahan ini akan membantu negeri meningkatkan sumbangan pada segmen kebajikan dan usaha melandaikan tekanan kos sara hidup penduduk negeri.
Buat pengetahuan ini antara perincian kategori bangunan dan tanah yang akan berdepan kenaikan bayaran cukai tanah:
- Beberapa kategori lot tanah di kawasan bandar dijelaskan akan dikenakan bayaran minimum RM70
- Kategori tanah luar bandar akan perlihat kenaikan cukai tanah daripada RM0.22 kepada RM0.50 untuk 1m persegi – dengan bayaran minimum RM50 setiap lot.
- Kategori perindustrian kadar cukai tanah dinaikkan daripada RM1.29 kepada RM3.25 untuk 1m persegi – ini meliputi bandar dan luar bandar
- Kategori perniagaan pula akan alami kenaikan cukai tanah kepada RM3.25 setiap 1m persegi (bandar) dan RM2.80 (luar bandar)
