Artikel

Touch ‘n Go eWallet: Lebih 14 Juta Pengguna Jalan Raya Manfaatkan Ciri SOS Balance 

Sejak diperkenalkan pada awal Januari tahun ini, ternyata lebih 14 juta pengguna jalan raya didapati memanfaatkan kemudahan ciri SOS Balance di bawah aplikasi Touch ‘n Go eWallet. Ciri ini untuk makluman membolehkan pengguna lebuh raya yang memiliki baki dompet digital yang tidak mencukupi untuk melalui tol dengan lancar dan perlu menambah nilai dalam tempoh 24 jam selepas itu.

Jelas TNG pada penyertaan mereka di Ekspo Teknologi Jalan dan Trafik MY-ASEAN (My-ARTTE) 2025 minggu ini, hasil akses ini dalam masa 9 bulan ia telah berjaya membantu bayaran tol tertunggak berjumlah lebih RM42 juta dilaksanakan bersama pengguna dan konsesi terlibat.

Selain perkongsian maklumat itu, pada sidang yang sama – TNG turut menampilkan pelbagai inovasi mereka pada ekosistem pembayaran di Malaysia dan pasaran serantau. Antaranya melibatkan pengenalan sistem pembayaran seperti Pengenalan Frekuensi Radio (RFID), Aliran Pantas Lorong Pintar (SLFF) dan Aliran Pantas Berbilang Lorong (MLFF).

Selain kemudahan pembayaran tol, ekosistem pembayaran TNG turut meliputi segmen lain seperti tempat letak kenderaan, pengangkutan awam dan pengurusan kewangan komersial. Tidak hanya TNG turut optimis meluaskan perkhidmatan mereka kepada lebih 24 juta pengguna ketika ini – dengan langkah baharu adalah mengintegrasi Pas Perjalanan Digital iaitu My50 bersama Prasarana dan pelaksanaan teknologi Pengecaman Nombor Pendaftaran (LPR) pada sistem parkir terpilih.