Untuk memastikan kumpulan pengguna tidak berdepan dengan sebarang kekeliruan berhubung status halal sesuatu produk – kerajaan negeri Selangor kini dimaklumkan sedang membangunkan sistem data halal digital – bagi memudahkan pengguna menyemak status halal di pasaran negara.
Medium itu menurut laporan, akan membolehkan pengguna memeriksa kesahihan logo halal pada produk di pasaran Malaysia. Sistem ini jelas exco industri halal negeri hanya mengiktiraf Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sahaja. Dan sekiranya didapati ada pihak yang menyalahguna pemaparan logo halal ini – pihak terlibat boleh dikenakan tindakan perundangan di bawah Akta 730, Akta Perihal Dagangan KPDN.
Seperti yang umum ketahui, sebelum ini Selangor telahpun melancarkan aplikasi HalalSel pada akhir November 2022. Dengan perluasan ciri ini yang dijangka akan disertakan pada aplikasi tersebut, ia disasar tidak sekadar memudahkan pengguna bahkan turut meningkatkan tahap celik pengguna akan kepentingan logo halal sah pada produk di pasaran Malaysia.