Malaysia ke arah memiliki lebih ramai masyarakat tua menjelang 2045 kelak – jangkaan ini sekaligus menuntut persediaan dana persaraan yang lebih stabil bagi penduduk negara. Melihat pada keperluan itu, Bank Dunia kini menyarankan usia pengeluaran simpanan KWSP dimulakan pada usia 65 tahun berbanding 55 tahun ketika ini.
Cadangan yang dilampirkan pada tinjauan baharu Bank Dunia: Should Malaysia Expand Its Social Pension? Global Evidence, Design Issues and Options menjelaskan penetapan had usia pengeluaran wajar dilaksanakan antara 65 tahun hingga 70 tahun.
Keperluan ini bagi membolehkan faedah purata lebih tinggi diraih oleh kumpulan pencarum KWSP di masa hadapan.
Had usia persaraan ini jelas Bank Dunia wajar diteliti seiring dengan jangka hayat penduduk Malaysia. Perihal ini secara langsung akan membantu penduduk negara lebih bersedia akan aliran tunai pada era warga emas mereka. Seperti yang umum ketahui, data jangka hayat DOSM terkini menunjukkan penduduk Malaysia miliki kadar hayat yang lebih tinggi dengan sekitar 75.3 tahun sebagai perincian lelaki 73.1 tahun dan wanita pula 77.9 tahun. Struktur ini jelas memaparkan penduduk negara memiliki kadar hidup lebih lama berbanding 40 tahun lalu.

Tinjauan juga dapati had usia persaraan Malaysia ketika ini dilihat jauh lebih rendah berbanding kebanyakkan negara lain. Maka dengan pertimbangan meningkatkan had usia pengeluaran persaraan itu kelak berupaya membantu penduduk negara meraih pencen sosial yang lebih tinggi tanpa berdepan beban kewangan yang besar.