Artikel

Bayi Yang Lahir Pada 2025 Dijangka Hidup Sehingga 75.3 Tahun – DOSM

Selaras dengan peningkatan kualiti tahap kesihatan dan negara ke arah populasi tua yang lebih tinggi – data terbaharu Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) kini menganggarkan bayi yang lahir pada 2025 dijangka miliki jangka hayat sehingga usia 75.3 tahun. 

Tinjauan di bawah data Jangkaan Hayat 2025 ini memperincikan seorang bayi lelaki yang lahir pada 2025 berupaya hidup sehingga 73.1 tahun. Manakala bayi perempuan yang lahir pada 2025 secara purata dijangka hidup sehingga usia 77.9 tahun.

Seterusnya untuk kategori had usia terpilih pula DOSM menampilkan data bahawa lelaki berusia 15 tahun pada 2025 dijangka dapat hidup selama 58.8 tahun lagi. Sementara perempuan yang berusia 15 tahun pada 2025 dijangka hidup selama 63.6 tahun lagi.

Bagi taburan usia 60 tahun pula, lelaki berpotensi hidup selama 18.8 tahun lagi dan perempuan pula selama 21.6 tahun lagi.

Senarai negeri pula memperlihatkan Selangor terus menjadi negeri yang mencatatkan jangkaan hayat ketika lahir tertinggi untuk tahun 2023 sehingga 2025 dengan jangkaan hidup 78 tahun, diikuti Kuala Lumpur (76.9 tahun), Labuan (76.1 tahun) dan Sarawak (75.4 tahun). Manakala Terengganu pula jadi negeri yang mencatatkan jangkaan hayat ketika lahir terendah pada tempoh yang sama.