Mahkamah Persekutuan kini mencapai keputusan, menolak permohonan rayuan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) untuk mengenakan denda RM86.77 juta ke atas Grab Holdings.
Penolakan ini untuk makluman adalah penolakan peringkat akhir dalam proses kehakiman.
Tindakan penolakan ini mengikut laporan berikutan MyCC gagal memenuhi syarat bagi kebenaran rayuan di mahkamah negara sebagaimana yang dituntut pada Seksyen 96 Akta Kehakiman Mahkamah 1964. Buat pengetahuan umum, keputusan ini pada awalnya telah dicapai pada Julai 2023 namun MyCC mengambil langkah lanjut dengan laksana rayuan dan permohonan tersebut turut dibatalkan pada Mac 2025.
Namun pihak MyCC sekali lagi mengemukakan notis rayuan pada April 2025 untuk mendapatkan kebenaran merayu tetapi keputusan telah ditolak sepertimana yang diumumkan pada notis hari ini. Secara menyeluruh MyCC wajar memberi notis awal kepada pihak Grab bagi membolehkan tindakan permintaan maklumat diraih seperti tertakluk pada Seksyen 18 Akta Persaingan 2010. Tetapi siasatan MyCC dilihat telah menafikan hak syarikat terlibat untuk mengetahui butiran lanjut berkenaan aduan.
Pada notis yang sama – Mahkamah turut memerintahkan MyCC untuk membayar Grab sekitar RM50,000 bagi menampung kos guaman.
Sebagai konteks untuk para pembaca – MyCC pada 2019 telah mencadangkan sejumlah denda dikenakan terhadap Grab kerana didakwa telah melanggar perundangan anti-monopoli Malaysia dengan mengenakan klausa sekatan ke atas rakan pemandu mereka. Tindakan itu secara langsung berupaya menjejaskan aliran persaingan khidmat di pasaran semasa.