Artikel

Mahkamah Batalkan Denda RM86.77 Juta MyCC Ke Atas Grab

Pengenaan denda berjumlah RM86.77 juta ke atas Grab Holdings bersama anak syarikatnya GrabCar dan MyTeksi yang dilaksanakan MyCC, Suruhanjaya Persaingan Malaysia susulan isu amalan pelanggaran persaingan – kini dimaklumkan telah dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi.

Keputusan ini mengikut laporan dilaksanakan setelah menerima permohonan Grab untuk menyemak dan mencabar cadangan denda tersebut. Setelah didapati cadangan MyCC ini berlakunya ketidakpatuhan prosedur maka perintah certiorari telah dikeluarkan bagi mengetepikan keputusan cadangan oleh MyCC. Ini termasuklah cadangan mereka mengenakan denda ke atas Grab.

Selanjutnya turut difahamkan MyCC kini diperintah untuk membayar kos berjumlah RM20,000 kepada Grab.

Buat pengetahuan umum, isu ini telah berbangkit sejak Mac 2018 – di mana terdapat dakwaan Grab menyalahgunakan kedudukannya selaku pemain industri dominan melalui pengenaan beberapa klausa dan terma, yang membataskan para pemandu untuk mempromosikan dan menyediakan khidmat pengiklanan kepada pesaing lain dalam pasaran seru-pandu dan situasi itu adalah menyalahi undang-undang di bawah peruntukan Akta Persaingan 2010.