Artikel

KWSP Ingin Naikkan Had Simpanan Asas Pencarum Kepada RM390,000 – Apa Sebabnya?

Jika sebelum ini had simpanan asas pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah dilaraskan kepada RM240,000 – tidak lama lagi amaun ini akan dinaikkan secara berkala kepada RM390,000 menjelang 2028! Peningkatan ini dimaklumkan akan bermula pada tahun hadapan iaitu 2026. Melihat pada tindakan itu, apa sebab sebenar yang menuntut kepada kenaikan tersebut? Dan bagaimana ia dilaksanakan?

Kos Sara Hidup Terus Melonjak

Punca utama di sebalik kenaikan had simpanan asas ini adalah untuk memastikan wang persaraan para pencarum di Malaysia kekal relevan dengan realiti ekonomi semasa. Sasaran RM390,000 ini diselaraskan dengan berpaksikan kepada garis panduan Belanjawanku 2024/2025 KWSP, yang menggariskan perbelanjaan bulanan minimum yang diperlukan untuk taraf hidup asas yang bermaruah semasa persaraan.

Secara purata, jumlah RM390,000 ini dijangka membolehkan seorang pesara membuat pengeluaran bulanan sekitar RM1,625 pada tahun pertama persaraan, yang akan meningkat secara beransur-ansur untuk menampung perbelanjaan asas selama 20 tahun. Lebih membimbangkan, terdapat sebilangan kawasan kota memiliki nilai perbelanjaan yang lebih tinggi berbanding jumlah tersebut – KWSP sendiri menganggarkan penduduk warga emas di Lembah Klang memerlukan sekitar RM2,690 sebulan untuk memenuhi perbelanjaan asas mereka. Ini bermakna kumpulan ini memerlukan sekurangnya RM650,000 untuk menampung hidup persaraan mereka selama 20 tahun!

Jadi mengapa 20 tahun? Ini anggaran kasar susulan data DOSM menunjukkan jangka hayat rakyat Malaysia dilihat alami peningkatan secara berkala, iaitu sehingga 75 tahun. Maka wang persaraan perlu menjangkau tempoh yang lebih lama, iaitu sekurang-kurangnya 20 tahun selepas bersara pada usia 55 tahun. Peningkatan Simpanan Asas ini adalah penting untuk mengelakkan pencarum kehabisan simpanan terlalu awal.

Had Simpanan Asas Akan Naik Secara Berkala – Bermula Tahun 2026

Kenaikan had Simpanan Asas ini bukanlah langkah yang berdiri sendiri, tetapi adalah komponen penting dalam Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan (RIA) tiga peringkat KWSP yang baharu, yang bertujuan untuk memberi panduan yang lebih jelas dan menyeluruh kepada ahli.

Rangka kerja RIA menetapkan tiga sasaran simpanan berbeza untuk ahli mencapai umur 60 tahun (sasaran 2028):

  • Simpanan Asas (RM390,000): Untuk menampung keperluan persaraan asas
  • Simpanan Mencukupi (RM650,000): Untuk taraf hidup yang munasabah
  • Simpanan Dipertingkat (RM1.3 Juta): Untuk keselamatan dan kebebasan kewangan yang lebih tinggi

Namun pelaksanaan ini akan dilakukan secara berperingkat dengan memberi masa kepada kumpulan pencarum untuk menyesuaikan perancangan kewangan mereka – ianya melibatkan pelarasan:

  • 1 Januari 2026: RM290,000
  • 1 Januari 2027: RM340,000
  • 1 Januari 2028: RM390,000

Tingkatkan Semula Dana Persaraan Pencarum – Kesan Pengeluaran Ketika Pandemik

Kita dapat lihat era pandemik telah menyebabkan sejumlah RM145 bilion dana persaraan dikeluarkan oleh rakyat Malaysia, untuk menampung kekangan kewangan yang berlaku pada ketika itu. Pengeluaran itu untuk makluman merangkumi i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan Pengeluaran Khas. Berdasarkan makluman pada Parlimen Malaysia pada September lalu, KWSP memerlukan sekitar 7 tahun untuk pulihkan kembali dana persaraan tersebut. Maka keperluan meningkatkan had simpanan asas ini adalah wajar untuk membantu pencarum meraih simpanan yang mencukupi pada hari tua kelak.

Kesimpulannya kenaikan had Simpanan Asas kepada RM390,000 ini adalah satu langkah yang perlu dan realistik bagi KWSP untuk mendidik dan menyediakan ahli bagi menghadapi kos sara hidup yang terus meningkat dalam tempoh persaraan yang lebih panjang. Ia memberikan penanda aras yang lebih jelas dan bertujuan membina semula asas kewangan yang kukuh bagi persaraan yang bermaruah untuk semua rakyat Malaysia.