Artikel

RON95: JPJ Umum Tambah Operasi Kaunter Pada Sabtu, Ahad – Bolehkan Pemandu Perbaharui Lesen

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kini memaklumkan akan menambah waktu operasi kaunter diseluruh Malaysia pada Sabtu dan Ahad – bagi membolehkan lebih ramai pemegang lesen yang tidak aktif untuk perbaharui lesen mereka susulan berdepan kekangan waktu.

Penambahan waktu operasi ini dijelaskan akan bermula pada 27 September 2025 sehingga 26 Oktober 2025 pada jam 8.30 pagi sehingga 4.30 petang, melibatkan seluruh cawangan di setiap JPJ Negeri dan cawangan seluruh Malaysia.

Keperluan ini dilihat selari dengan pengumuman negara akan pelaksanaan subsidi bersasar RON95 secara menyeluruh bermula 30 September 2025 kelak. Sokongan ini penting susulan setiap pengguna yang berkelayakan perlu memiliki lesen memandu yang sah dan aktif untuk menikmati subsidi BUDI95 ini.

Setakat ini, didapati 2.3 juta pemegang lesen memandu adalah berstatus tidak aktif – melihat pada jumlah yang kian meningkat, JPJ menyeru semua pihak berkenaan untuk tampil di cawangan terdekat JPJ dan mengaktifkan lesen mereka. Bagi mengelak terlibat pada tindakan memandu dengan lesen yang tidak sah.