Artikel

2.3 Juta Pemegang Lesen Memandu Kini Didapati Berstatus Tidak Aktif – JPJ

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kini memaklumkan terdapat 2.3 juta pemegang Lesen Memandu Kompeten (CDL) didapati berstatus tidak aktif. Ini merangkumi kumpulan lesen yang telah tamat tempoh atau tidak diperbaharui selama lebih daripada tiga tahun.

Selari dengan Akta Pengangkutan Jalan 1987, JPJ pada notis hari ini menyeru pihak berkaitan untuk perbaharui lesen mereka bagi mengelakkan tindakan memandu lesen yang tidak sah.

Perbuatan sedemikian bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah turut menimbulkan risiko kepada pengguna jalan raya yang lain. Oleh itu, setiap individu yang memandu kenderaan di jalan raya wajib memiliki lesen memandu yang sah dan masih berkuat kuasa.

Untuk pemegang lesen yang tamat tempoh tidak melebihi tiga tahun, JPJ menyeru agar mereka segera memperbaharui lesen. Pembaharuan boleh dibuat melalui aplikasi MyJPJ, portal mySikap, atau di mana-mana kaunter JPJ. Tindakan ini penting untuk mengelakkan mereka daripada perlu mengambil semula ujian memandu.

Namun, bagi pemegang lesen yang telah tamat tempoh lebih daripada tiga tahun dan masih ingin memandu, mereka diwajibkan untuk mengambil semula Ujian Kurikulum Pendidikan Pemandu Bahagian 2 dan 3 (KPP02 dan KPP03) di institut memandu yang berdekatan. Ini adalah syarat untuk mengaktifkan semula lesen memandu mereka dan memastikan mereka mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan.