Artikel

AI: Beri Penjimatan Kepada Ekonomi Atau Sekadar Menambah Beban Kos?

Kecerdasan Buatan (AI) bukan lagi sekadar subjek dalam filem fiksyen sains. Teknologi ini sudah sebati dalam kehidupan kita, daripada pembantu suara di telefon pintar hingga kepada algoritma yang mencadangkan produk kepada kita. Tetapi, persoalan yang lebih besar timbul – adakah AI benar-benar membawa manfaat ekonomi dengan penjimatan kos, atau sebaliknya hanya menambah beban yang tidak perlu?

Syarikat Raih Penjimatan Kos, Produktiviti Melonjak

Tidak dapat dinafikan, salah satu sumbangan terbesar AI kepada ekonomi adalah kemampuannya untuk mengautomasikan tugas berulang dan meningkatkan kecekapan. Dalam sektor pembuatan, robot AI mampu bekerja tanpa henti, 24 jam sehari, 7 hari seminggu. Ini bukan sahaja mengurangkan kos buruh, tetapi juga meminimumkan kesilapan manusia dan memastikan kualiti produk yang konsisten.

Di sektor perkhidmatan, chatbot AI kini cekap mengendalikan pertanyaan pelanggan yang mudah, membebaskan pekerja manusia untuk fokus pada masalah yang lebih rumit. Kecekapan ini diterjemahkan kepada penjimatan kos operasi yang signifikan dan peningkatan produktiviti secara menyeluruh.

Situasi ini diperakui berlandaskan tinjauan laporan McKinsey, syarikat teknologi mampu meraih penjimatan kos sehingga 30% dan mencapai kadar produktiviti sehingga 40% dengan sokongan AI. Microsoft sendiri mendedahkan bahawa mereka berjaya menjimatkan lebih $500 juta pada segmen kos pusat panggilan dalam tempoh setahun.

Kos Tersembunyi AI – Beri Impak Kepada Alam Sekitar, Pekerjaan

Di sebalik manfaat yang jelas, AI turut datang dengan cabaran besar. Ia bukan sahaja melibatkan kos kewangan, tetapi juga kesan terhadap alam sekitar yang sering terlepas pandang.

Tahukah anda, pembangunan pusat data AI memerlukan penggunaan air yang tinggi. Berdasarkan tinjauan Morgan Stanley, penggunaan air secara tahunan untuk tindakan penyejukan dan penjanaan elektrik pusat data AI memerlukan sekitar 1,068 bilion liter air menjelang 2028. Ini adalah peningkatan 11 kali ganda berbanding jangkaan 2024. Dan untuk pasaran Malaysia sahaja – dijangka sekitar 14 pusat data di Malaysia berisiko jana pelepasan karbon tahunan setara Papua New Guinea mengikut tinjauan RimbaWatch. Ini secara jelas menunjukkan jejak alam sekitar yang besar, yang sering kita abaikan dalam setiap interaksi AI.

Selain itu, terdapat kebimbangan yang besar terhadap peluang pekerjaan manusia. Dengan lebih banyak syarikat mengautomasikan proses dengan AI, kebergantungan terhadap tenaga manusia akan berkurangan. Tinjauan Goldman Sachs menganggarkan bahawa kira-kira 300 juta pekerjaan di seluruh dunia mungkin terjejas akibat AI, menjejaskan 25% pasaran buruh global. Perihal ini dapat dilihat berlaku kalangan syarikat teknologi seperti TikTok, Meta, dan Intel yang telah melakukan rombakan ke atas petugas mereka berikutan meraih sokongan tenaga AI.

Walau bagaimanapun, perlu diingat setakat ini bahawa AI tidak akan mengancam pekerjaan yang melibatkan kemahiran fizikal seperti sektor pembuatan, teknikal, pemasangan, dan penyelenggaraan, malah mungkin mewujudkan peranan baharu.

Risiko Keselamatan Dan Kebergantungan Berlebihan

Semua perlu sedari semakin tinggi kebergantungan terhadap sistem maka semakin tinggi juga risiko yang perlu didepani organisasi pada bahagian keselamatan data. Jika sistem AI menguruskan peranan kritikal seperti rantaian bekalan atau perdagangan kewangan, kegagalan sistem atau serangan siber boleh mengakibatkan  berlakunya kerugian yang sangat besar.

Di samping itu, kebergantungan berlebihan pada algoritma AI boleh mengurangkan keupayaan manusia untuk membuat keputusan dan menyelesaikan masalah. Pekerja mungkin menjadi kurang mahir dalam tugas asas kerana terlalu bergantung pada automasi. Oleh itu, kos pengurusan risiko, perancangan kecemasan, dan latihan berterusan harus dilaksanakan secara berterusan untuk memastikan pekerja sentiasa relevan. Dan situasi ini akan meningkatkan kos perbelanjaan bagi jangka panjang.

Selepas Ini – Apa Tumpuan AI?

Selepas AI menguasai sektor-sektor sedia ada, gelombang inovasi seterusnya dijangka akan meneroka bidang yang sebelum ini kurang disentuh. Salah satu bidang utama yang diperkatakan ialah ekonomi angkasa lepas, di mana AI akan memainkan peranan penting dalam menguruskan misi, menganalisis data satelit, dan membangunkan sistem autonomi.

Selain itu, pembuatan lestari juga akan menjadi sektor tumpuan. AI dapat digunakan untuk mengoptimumkan penggunaan sumber, mengurangkan sisa, dan memantau jejak karbon dalam rantaian bekalan. Sektor bioteknologi dan perubatan peribadi turut akan berkembang pesat. Dengan keupayaan AI menganalisis genom manusia dan data klinikal yang besar, ia akan membolehkan rawatan perubatan disesuaikan secara khusus untuk setiap individu, meningkatkan keberkesanan dan mengurangkan kesan sampingan.

Kesimpulannya, AI bukan sekadar alat untuk menjimatkan kos, tetapi ia adalah pemangkin kepada transformasi ekonomi yang lebih besar. Ia membuka pintu kepada peluang baharu yang tidak terbayangkan sebelum ini, walaupun kita perlu bijak menguruskan risiko yang datang bersamanya. Jadi apa pendapat anda, adakah AI akan membawa lebih banyak manfaat atau cabaran kepada ekonomi masa depan?