Artikel

14 Pusat Data Di Malaysia Berisiko Jana Pelepasan Karbon Tahunan Setara Papua New Guinea – Tinjauan

Tatkala Malaysia agresif untuk tampil selaku peneraju pada pembangunan pusat data di pasaran serantau – perlu diakui setiap matlamat itu akan hadir dengan risiko tersendiri. Tahukah anda, ketika ini dijangka 14 pusat data baharu di Malaysia memiliki potensi untuk menjana pelepasan karbon tahunan yang setara dengan Papua New Guinea.

Data di bawah tinjauan RimbaWatch hari ini, iaitu laporan Kesan Iklim Daripada Perluasan Pusat Data Malaysia mendedahkan risiko pelepasan karbon itu mewakili kapasiti sebanyak 2.2GW dan lebih membimbangkan adalah 1.7GW daripada kapasiti pusat data tersebut dijelaskan tidak miliki rancangan tenaga boleh diperbaharui yang jelas.

Ini bermakna kemudahan berkaitan bergantung sepenuhnya pada grid elektrik negara yang kekal tertakluk pada bahan api fosil. Tidak sekadar itu potensi pelepasan karbon tersebut turut seakan memaparkan berlakunya penambahan lebih 2 juta kereta di jalan raya. 

Laporan turut menjelaskan setakat 1 Januari 2025, 14 projek pusat data baharu di Malaysia itu mewakili 3 projek telah siap antara 2023 dan 2024, 2 projek lagi dalam fasa pengembangan serta 5 projek pula sedang dibina dan 4 lagi diperingkat cadangan.

Situasi ini secara menyeluruh akan menjadi cabaran terbesar negara untuk mengimbangi kerugian kos alam sekitar serta matlamat negara utnuk menamatkan operasi loji janakuasa arang batu menjelang tahun 2044 – sebagai tindak balas kepada peralihan tenaga dan perubahan iklim.