Artikel

Melaka Mahu Wujudkan Perkampungan Orang Bersara – Depani Status Negeri Tua Menjelang 2040

Sebagai persediaan ke arah status negeri tua dengan jangkaan pada 2040 sekitar 15% penduduk negeri berusia 60 tahun ke atas, Melaka kini memiliki rancangan untuk bangunkan perkampungan persaraan buat warga emas di negeri tersebut.

Inisiatif ini mengikut laporan Bernama dilihat akan menjadi pelaksanaan yang terbaik untuk mengumpul kumpulan pesara, tidak sekadar menyediakan kemudahan program yang bersesuaian, perlindungan sosial, penyediaan akses kesihatan yang lebih lengkap tetapi perkampungan ini berupaya menjadi hab untuk pentadbiran negeri mengenalpasti kemahiran yang dimiliki warga emas untuk diterokai dan disumbangkan semula pada aliran ekonomi di masa hadapan.

Bersama matlamat ini, ia secara langsung turut membantu pentadbiran negeri lebih memahami akan keperluan yang perlu disediakan menjelang perolehan status tersebut. Untuk makluman, Malaysia kini telahpun memiliki 12 negeri yang berstatus menua – dengan rekod tambahan 3 negeri baharu iaitu Melaka (7.3%), Pahang (7.1%) dan KL (7.1%), setakat Ogos 2025 mengikut rekod Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).