Artikel

Melaka, Pahang Dan KL Kini Antara 12 Negeri Menua – Di Malaysia

Malaysia kini memiliki 12 negeri yang berstatus menua dengan rekod tambahan 3 negeri baharu menyertai senarai tersebut iaitu Melaka (7.3%), Pahang (7.1%) dan Kuala Lumpur (7.1%). 

Kedudukan ini mengikut data Jabatan Perangkaan (DOSM) pada laporan Populasi Semasa Malaysia menjelaskan berdasarkan senarai negeri, Perak mencatatkan peratusan penduduk menua tertinggi dalam senarai tersebut bersama kadar 10.3%. Disusuli Kedah (9.4%), Sarawak (9.1%), Perlis (8.5%) dan Pulau Pinang (8.4%).

Peratusan ini untuk makluman mewakili masyarakat tua yang berusia 65 tahun ke atas.

Sementara untuk jumlah masyarakat berusia 60 tahun ke atas pula didominasi negeri Perak (15.3%), Sarawak (14%), Kedah (13.7%), Pulau Pinang (13.2%) dan Negeri Sembilan (12.8%).

Secara menyeluruh jumlah penduduk Malaysia pada 2025 dianggarkan mencapai 34.2 juta individu dengan jumlah rakyat Malaysia kepada 30.9 juta diikuti 3.3 juta individu lagi adalah penduduk bukan-warganegara.

Manakala untuk senarai lain pula, Wilayah Persekutuan Putrajaya dilihat menjadi wilayah yang miliki komposisi penduduk muda tertinggi iaitu berusia 0 tahun sehingga 14 tahun dengan peratusan 33.3% diikuti Kelantan (27.6%), Terengganu (27.6%), Labuan (25.8%) dan Kedah (23.7%). Seterusnya KL pula memiliki jumlah penduduk bekerja paling ramai di Malaysia melibatkan usia 15 tahun sehingga 64 tahun dengan kadar 76.1%. Diikuti Pulau Pinang (73.2%), Perlis (72.2%), Johor (71.3%) dan Sarawak (71.3%).