Artikel

100 Tahun Tun Mahathir – Ini 5 Legasi Ekonomi Yang Dibawa Pada Malaysia

Tun Dr. Mahathir Mohamad, bukanlah suatu nama yang asing di Malaysia bahkan di peringkat global. Selaku sosok yang pernah memimpin negara sebagai Perdana Menteri bagi dua tempoh pimpinan pada tahun 1981-2003 (Perdana Menteri Ke-4) dan 2018-2020 (Perdana Menteri Ke-7), pastinya pelbagai dasar serta insiatif ekonomi dihamparkan dalam membentuk hala tuju pertumbuhan Malaysia, yang mana secara langsung telah mengubah Malaysia daripada sekadar negara pertanian kepada kuasa perindustrian serantau.

Dasar Pandang Ke Timur

Salah satu dasar ekonomi paling ikonik Tun Dr. Mahathir ialah Dasar Pandang Ke TimurDiperkenalkan pada awal pemerintahannya, dasar ini menggalakkan Malaysia untuk mencontohi etika kerja, disiplin, dan pendekatan pengurusan dari negara-negara Asia Timur seperti Jepun dan Korea Selatan. Matlamat utamanya adalah untuk meningkatkan produktiviti, kualiti, dan kecekapan dalam sektor awam dan swasta. Impak dasar ini dapat dilihat melalui peningkatan kualiti produk dan perkhidmatan Malaysia serta pembentukan tenaga kerja yang lebih berdaya saing.

Krisis Kewangan Asia 1997/98 – Langkah Berani dan Kontroversi

Cabaran terbesar ekonomi negara di bawah kepimpinan Tun Dr. Mahathir ialah Krisis Kewangan Asia 1997/98. Ketika ekonomi serantau runtuh akibat serangan spekulasi mata wang, kebanyakan negara memilih untuk mengikut saranan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dengan melaksanakan langkah penjimatan dan kenaikan kadar faedah. Namun, Tun Mahathir mengambil langkah yang berani dan kontroversi dengan memperkenalkan kawalan modal dan menambat ringgit kepada dolar AS.

Langkah ini meraih kritikan yang hebat pada awalnya, tetapi terbukti berkesan dalam melindungi ekonomi Malaysia daripada kesan terburuk krisis tersebut. Ia membolehkan Malaysia memulihkan ekonomi tanpa perlu bergantung kepada syarat-syarat ketat IMF, sekali gus menyelamatkan banyak perniagaan dan pekerjaan tempatan. Keputusan berani ini seringkali disebut sebagai bukti visi dan ketegasan beliau dalam melindungi kepentingan ekonomi negara.

Bina Infrastruktur Mega – Putrajaya, Menara Berkembar Petronas, KLIA Dan Litar Sepang

Apabila bercerita tentang Malaysia, pastinya mercu seperti Menara Berkembar Petronas, KLIA, Putrajaya menjadi antara lokasi yang akan diperkatakan oleh semua pihak. Dan untuk makluman umum ia antara inisiatif infrastruktur mega yang dilaksanakan di bawah pimpinan Tun Dr. Mahathir.

Pembangunan infrastruktur mega ini dilihat merentasi pelbagai industri termasuklah insiatif Koridor Raya Multimedia (MSC) yang mengfokuskan industri teknologi maklumat dan komunikasi di Malaysia. Yang menjadi antara pencetus usaha negara membawa masuk pelaburan pada sektor teknologi. Diikuti pembangunan Litar Antarabangsa Sepang yang membantu meningkatkan sektor pelancongan dan tempatkan negara pada peta sukan permotoran global.

Penswastaan Syarikat Milik Kerajaan – Proton, TNB, TM

Tun Dr. Mahathir juga merupakan arkitek utama di sebalik gelombang penswastaan syarikat-syarikat milik kerajaan. Rasional di sebalik langkah ini adalah untuk mengurangkan beban kewangan kerajaan, meningkatkan kecekapan, dan menggalakkan pertumbuhan sektor swasta.

Pada masa yang sama, beliau gigih mendorong perindustrian berat sebagai enjin pertumbuhan ekonomi. Penubuhan Proton, syarikat kereta nasional adalah contoh utama inisiatif ini. Walaupun berdepan pelbagai cabaran, Proton berjaya mencetuskan pertumbuhan dalam industri sokongan automotif dan mewujudkan peluang pekerjaan yang luas, sekali gus meletakkan Malaysia di peta global sebagai pengeluar kenderaan.

Selain Proton, perubahan ini turut melibatkan pelaksanaan operasi seperti Telekom Malaysia (TM), Tenaga Nasional Berhad (TNB), PLUS Malaysia, Pos Malaysia dan Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB).

Wawasan 2020

Visi ekonomi jangka panjang Tun Dr. Mahathir terkandung dalam Wawasan 2020, yang dilancarkan pada tahun 1991. Wawasan ini menetapkan matlamat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju sepenuhnya berdasarkan acuannya sendiri menjelang tahun 2020. Ia merangkumi aspirasi bukan sahaja dalam aspek ekonomi tetapi juga sosial, politik, dan perpaduan nasional. Walaupun Wawasan 2020 tidak dicapai sepenuhnya, ia berjaya menjadi panduan dan inspirasi kepada perancangan pembangunan negara selama beberapa dekad, mendorong pelaburan dalam pendidikan, teknologi, dan infrastruktur.

Berikutan matlamat ini tidak berjaya mencapai objektifnya, untuk makluman Tun Dr. Mahathir turut terlibat pada pelaksanaan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030). Di mana ia bertujuan memberi penekanan baharu akan hala tuju ekonomi negara dan bermatlamat merapatkan jurang pendapatan serta pengagihan kekayaan yang lebih adil kepada rakyat Malaysia. Namun rangka ini tidak lagi diteruskan dan kini ditumpukan kepada Ekonomi Madani yang memberi fokus untuk jadikan Malaysia selaku 30 ekonomi terbesar dunia sebelum 2033.


Secara menyeluruh biarpun memiliki perbezaan pada kaca politik namun sumbangan Tun Dr. Mahathir dalam ekonomi Malaysia sememangnya besar dan merentasi pelbagai sektor. Dari inisiatif perindustrian hingga keputusan berani ketika mendepani krisis, dasar-dasar beliau telah mengubah wajah ekonomi Malaysia yang secara langsung meningkatkan daya saing global, dan melindungi kepentingan negara pada saat-saat genting. Legasi ekonominya akan terus menjadi bual bicara umum dan semua pihak perlu akui, Tun Dr. Mahathir adalah antara individu penting yang membentuk Malaysia moden yang kita kenali pada hari ini.