Dalam tempoh 4 dekad, kadar gaji sebenar rakyat Malaysia diperhatikan telah susut hampir tiga kali ganda sejak tahun 1984.
Pengiraan mantan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Muhammad Ibrahim ini mengambilkira penetapan gaji permulaan buat graduan universiti negara yang ketika ini hanya sekitar RM2,000 sehingga RM3,000 sebulan. Amaun ini dilihat berbeza dengan nilai gaji permulaan yang diterima pada tahun 1984 iaitu bermula sekitar RM1,300.
Biarpun amaun era itu dilihat lebih kecil namun nilainya lebih besar untuk pelbagai perkara. Dan melihat pada amaun itu, sewajarnya era ketika ini menetapkan gaji permulaan buat graduan universiti sekitar RM7,000 sehingga RM8,000 sebulan berikutan mengambilkira kadar inflasi tahunan adalah 5%.
Maka berdasarkan pengiraan ringkas ini, secara realitinya gaji rakyat Malaysia telah merosot sekurangnya hampir tiga kali ganda.
Keadaan ini menurut Tan Sri Muhammad pada laporan khas SinarHarian, didorong atas isu kemahiran rendah yang masih tinggi di pasaran negara, selain kebergantungan ke atas tenaga kerja asing turut merencatkan lagi usaha Malaysia dalam mewujudkan pekerjaan bergaji tinggi. Situasi ini secara asasnya perlu melibatkan perubahan meluas pada sektor ekonomi dan sistem pendidikan negara secara berkala, yang ketika ini dilihat mulai ke arah itu.
Buat pengetahuan umum, mengikut data Bank Dunia pada 2023 – Malaysia kekal status pendapatan pertengahan tinggi sejak tahun 1992. Di mana kedudukan ini secara langsung menjelaskan negara masih terperangkap selaku negara penengah dalam suatu jangka masa yang panjang. Ini berbeza dengan Singapura dan Brunei yang telahpun meraih status pendapatan tinggi.