Artikel

Mahkamah Kekal Batalkan Denda RM86.8 Juta MyCC Ke Atas Grab

Sebagaimana yang diputuskan Mahkamah Tinggi pada Julai 2023, kini keputusan yang sama turut dicapai oleh Mahkamah Rayuan – iaitu membatalkan denda RM86.77 juta MyCC (Suruhanjaya Persaingan) ke atas Grab Holdings bersama anak syarikatnya GrabCar dan MyTeksi dengan menolak rayuan permohonan tersebut dikenakan semula. Denda ini untuk makluman susulan isu amalan pelanggaran persaingan yang dilaksanakan Grab, yang dilihat menyalahgunakan kedudukan dominan mereka di pasaran Malaysia.

Berdasarkan keputusan yang dibaca, tiada peruntukan pada Akta Persaingan 2010 untuk rayuan dalaman dibuat kepada Tribunal Rayuan Persaingan berhubung keputusan yang telah dimuktamadkan. Malah tiada bukti yang jelas juga menunjukkan MyCC memaklumkan kepada Grab berhubung tujuan apa siasatan dilaksanakan sepertimana yang dituntut dalam perundangan negara.

Pada keputusan rasmi itu, Mahkamah telah memerintahkan MyCC untuk membayar Grab sejumlah RM50,000 bagi menampung kos guaman.

Sebagai konteks untuk pembaca – MyCC pada 2019 telah mencadangkan sejumlah denda dikenakan ke atas Grab kerana telah melanggar perundangan anti-monopoli Malaysia dengan mengenakan klausa sekatan ke atas rakan pemandu mereka. Tindakan itu secara langsung berupaya menjejaskan aliran persaingan khidmat di pasaran semasa.