Sekitar suku ketiga tahun ini, Malaysia merancang melancarkan Pelan Hala Tuju Gas Asli bagi memastikan pasaran industri gas negara kekal berdaya saing.
Agenda yng dikongsikan pada Simposium Gas Malaysia hari ini turut menjelaskan ia bertujuan mendorong Malaysia memanfaatkan RM52 bilion yang disumbangkan gas asli pada pasaran ekonomi semasa. Maka dengan rangka rancangan yang lebih jelas, ini akan membantu Malaysia memahami dan meluaskan lagi kemasukan pelaburan pada sektor tersebut.
Seperti yang umum ketahui, Malaysia ketika ini berdepan isu kekurangan 50% pengeluaran minyak dan gas di pasaran Semenanjung dan terdapat risiko isu kebergantungan sumber asing akan meningkat menjelang 2050 kelak.
Risiko itu tidak sekadar meningkatkan peruntukan negara tetapi turut akan memberi kesan kepada aliran kos sara hidup ke atas pengguna Malaysia secara berkala. Berikutan itu, pelan hala tuju ini dilihat berupaya menjadi langkah awal negara, untuk mempelbagaikan usaha dalam meraih sumber tenaga yang lebih luas dan mengelak dari berdepan isu kekurangan sumber.