Dalam tempoh 10 tahun ini, sumber minyak mentah dan gas kini didapati berdepan pengurangan – apabila merosot 50% di Semenanjung Malaysia.
Perkongsian Kementerian Ekonomi pada sesi libat urus RMK13 di Kelantan minggu lalu menjelaskan sekiranya dahulu jumlah pengeluaran minyak di Semenanjung adalah sekitar 700,000 tong sehari kini tidak lagi – hanya sekadar 350,000 tong sehari.
Menyedari hakikat itu, ini memerlukan usaha yang lebih produktif untuk negara lalui proses peralihan tenaga dengan segera. Ia termasuklah pelaksanaan penyasaran semula subsidi.
Jelas Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, kekurangan tersebut telah membawa cabaran kepada pentadbiran dalam mengagihkan dan menentukan peruntukan kepada negeri-negeri. Buat pengetahuan umum, ketika ini negara telahpun mengimport 30% gas untuk menjana elektrik dalam industri bagi keperluan di Semenanjung.
Tindakan itu secara langsung memerlukan semakan lanjut bagi memastikan langkah tersebut tidak membawa kepada aturan pengantungan yang tinggi pada sumber negara asing.