Ternyata hampir 15 tahun, Malaysia menggunakan pengelasan B40 (rendah), M40 (pertengahan) dan T20 (tinggi) ke atas masyarakat negara dan penggunaan tersebut dilihat tidak lagi relevan berikutan tidak mencerminkan realiti sebenar akan tekanan kos yang didepani rakyat negara.
Buat pengetahuan umum, pengenalan kategori B40, M40 dan T20 ini telahpun dimulakan pada Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) – di mana sehingga kini ia dijadikan asas kepada pelbagai dasar ekonomi Malaysia. Namun corak perbelanjaan rakyat sekarang dilihat tidak lagi seragam sebagaimana yang ditetapkan pada 3 kategori tersebut. Maka keperluan penetapan kelas pendapatan baharu wajar diketengahkan pada pasaran semasa.
Ini meliputi cadangan kelas pendapatan B20, M50 dan T30.
Tinjauan Mencari Golongan Miskin & Kelas Pertengahan di Malaysia di bawah Khazanah Research Institute (KRI) ini mendapati hanya 20% penduduk negara benar-benar miskin. Kumpulan B20 ini menumpukan kepada kategori yang miliki pendapatan terendah dalam memenuhi keperluan asas seperti makanan, pakaian, tempat tinggal. Kumpulan ini juga menjadi kumpulan utama dalam perolehan subsidi negara.
Sementara M50 pula adalah tertumpu kepada kumpulan penduduk yang berupaya menampung keperluan asas mereka di samping memiliki akses tambahan kepada perbelanjaan di luar rumah. Namun kumpulan ini terus berdepan tekanan kos keperluan dan kehendak yang membawa kepada ketidakstabilan ekonomi. KRI melihat untuk mengimbangi tekanan tersebut, keperluan sebilangan subsidi seperti pendidikan dan perumahan wajar disediakan bagi membantu M50.
Selanjutnya T30 pula adalah kumpulan penduduk yang memiliki pendapatan lebih stabil untuk memenuhi kos perbelanjaan di luar rumah. Tetapi KRI menjelaskan, takrifan T30 ini bukanlah kumpulan pendapatan mewah sebagaimana yang digariskan pada takrifan global.
Dengan cadangan ini, ia secara jelas memberi petunjuk kepada pembuat dasar ekonomi Malaysia untuk menyemak dan meneliti kembali penetapan status ekonomi rakyat mengikut perubahan kos semasa. Tindakan ini tidak sekadar membantu pentadbiran lebih memahami akan pertumbuhan ekonomi tetapi turut membantu rakyat meraih bantuan dan sokongan kemajuan yang lebih saksama di masa hadapan.
Akan tetapi, Malaysia menerusi Kementerian Ekonomi telahpun memaklumkan pendekatan pengkelasan B40, M40 dan T20 ini akan dihapuskan secara berperingkat bermula 2024. Di mana negara berhasrat menggunakan pengkelasan berasaskan pendapatan boleh belanja isi rumah.
Di mana pendekatan itu, akan membantu pentadbiran lebih memahami akan keperluan kumpulan sasaran berdasarkan tanggungan sebenar mereka. Dijangka pendekatan ini melibatkan pengenalan indikator kos sara hidup MyPAKW dan sistem Pangkalan Data Utama (PADU).
