Artikel

Mulai 2024 – Pengkelasan T20, M40 Dan B40 Akan Dihapus Secara Berperingkat

Seperti yang umum ketahui, pentadbiran Malaysia kelak akan mula laksanakan peralihan dasar sosioekonomi daripada pendekatan pendapatan berteraskan kelas B40, M40 dan T20 kepada berasaskan pendapatan boleh belanja bersih isi rumah mulai Januari 2024.

Usaha ini dijangka akan melibatkan pengenalan sistem Pangkalan Data Utama atau PADU yang dijangka akan tersedia mulai tempoh tersebut. Menerusi usaha ini, ia akan membantu negara mengenalpasti dan memahami keperluan kumpulan sasaran berlandaskan tanggungan sebenar mereka.

Setelah itu, pelaksanaan bantuan dan subsidi dapat dijalankan dengan lebih baik.

Seperti yang kita ketahui sebelum ini, pendekatan yang digunapakai Malaysia adalah berteraskan kepada kelas pendapatan seperti B40, M40 dan T20. Namun perlu diakui, pendekatan sedemikian tidak memberi gambaran penuh akan tahap kemampuan sebenar isi rumah di Malaysia. Ini merangkumi bebanan kos jumlah tanggungan isi rumah serta lokasi penempatan mereka.

Menurut Menteri Ekonomi Rafizi Ramli pada sesi pertanyaan ketika pelancaran mesin layan diri di PPUM hari ini memaklumkan di peringkat Majlis Tindakan Ekonomi (MTEN) kini telah mula merangka pendekatan terbaik akan kumpulan yang layak mendapatkan bantuan serta subsidi yang setimpal. Ketika ini, pentadbiran mencuba meminimumkan ralat pengecualian subsidi kesan pengkelasan tahap pendapatan semasa.

Maka mulai tahun hadapan, pihaknya menjangkakan peralihan daripada subsidi blanket dan pengekelasan B40, M40 dan T20 tersebut akan dihapuskan secara berperingkat. Langkah ini sekaligus selari dengan matlamat negara untuk menyepadukan bantuan sosial seiring pendapatan boleh belanja bersih isi rumah di Malaysia.