Seiring dengan peningkatan transaksi e-pembayaran yang berlaku dalam kalangan pengguna negara, penerapan yang sama kini dilihat turut berlaku kalangan peniaga di Malaysia. Menurut VISA pada laporan terbaharunya Kajian Sikap Pembayaran Pengguna (CPA), penawaran pembayaran digital di negara mula meningkat dengan melibatkan peniaga rangkaian makanan (84%), peruncitan (79%) dan pasaraya (76%).
Persekitaran itu didorong hasil pilihan saluran pembayaran utama kalangan pengguna iaitu bayaran tanpa sentuhan (20%), imbasan kod QR (12%) dan kad debit, kad kredit (10%). Perihal ini mengikut amatan VISA, merancakkan lagi penerapan saluran pembayaran digital kalangan peniaga tempatan kepada pengguna.
Selain pemacuan ini, aliran nirtunai (tanpa tunai) ini juga dijangka akan semakin kukuh dalam pasaran negara berikutan lebih daripada 3/4 pengguna Malaysia kini selesa berurusan secara nirtunai – situasi ini antaranya diperkasa kalangan golongan muda seperti Gen Z dan Gen Y.
Di mana lebih ramai rakyat negara akui tabiat membawa wang tunai telah merubah – dengan 42% responden kajian akui, langkah membawa wang tunai pada masa ini adalah tidak selamat dan berpotensi hilang mahupun dicuri. Diikuti 54% responden pula melihat lebih banyak tempat dan peniaga mula menyediakan kemudahan transaksi nirtunai, keadaan ini memudahkan mereka untuk berbelanja tanpa memerlukan wang tunai.
Melihat pada dinamik itu, hasil dapatan mendapati lebih 40% pengguna di negara optimis Malaysia ke arah masyarakat nirtunai sepenuhnya menjelang 2030 kelak. Malah sekiranya sokongan pendigitalan dalam transaksi negara terus diperkasa, terdapat potensi matlamat itu dapat dicapai lebih awal, sebelum 2030.