Peningkatan transaksi menggunakan imbasan kod QR kini dilihat terus meluas, apabila transaksi menggunakan DuitNow QR telah melonjak dua kali ganda pada 2023 kepada 360 juta transaksi dengan nilai terkumpul RM14.6 bilion.
Data Bank Negara Malaysia (BNM) ini jelas menunjukkan perluasan pembayaran secara nirtunai (tanpa tunai) tidak hanya digunapakai oleh pengguna negara sahaja bahkan penerapan kaedah ini kalangan peniaga mikro juga turut berkembang.
Berbanding tahun 2022, sejumlah 125 juta transaksi menggunakan DuitNow QR dicatatkan dengan nilai RM5.5 bilion di pasaran negara.
Selain mudah diakses, lonjakan itu turut didorong berikutan penggunaannya lebih berkos rendah dan senang difahami oleh semua kategori pengguna.
Malah peningkatan penggunaan DuitNow QR juga turut didasari kesan penggunaan telefon pintar kalangan 95% penduduk Malaysia, diikuti penerapan internet kalangan 97% penduduk negara. Ia sekaligus melancarkan lagi saluran pembayaran digital ini.
Selain itu, secara puratanya rakyat Malaysia turut didapati melakukan 343 transaksi e-pembayaran pada tahun 2023. Angka purata ini jelas meningkat berbanding rekod purata pada 2022 dengan 285 transaksi e-pembayaran.
Menerusi perkembangan tersebut, prestasi ini akan membantu negara mencapai sasaran dengan purata 400 transaksi e-pembayaran setiap penduduk negara sebelum 2026.