Artikel

LHDN Kini Kenalpasti Individu, Syarikat Terlibat Dalam Dagangan Kriptowang

Seperti yang umum ketahui, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pernah memberi peringatan untuk pihak yang terlibat pada dagangan aset kriptowang – perlu tampil mengisytiharkan keuntungan aset berkenaan bersama LHDN.

Ini kerana selari dengan penguatkuasaan Seksyen 3 Akta Cukai Pendapatan 1967 di mana – apa-apa pendapatan yang terkumpul, diperolehi atau di terima di Malaysia atau di luar negara akan dikenakan cukai.

Pada gesaan itu, LHDN kini memaklumkan telah mengenalpasti beberapa pihak melibatkan individu dan syarikat yang menjalankan aktiviti tersebut. Berdasarkan perincian lanjut, pemantauan itu didasari berasaskan kekerapan transaksi dagangan mata wang kripto yang tinggi. Ketika ini LHDN dalam proses semakan untuk menentukan sekiranya berlakunya isu percukaian ke atas pihak yang tersenarai.

Aturan itu secara langsung akan membantu negara mengurangkan ketirisan hasil cukai negara dan meningkatkan kecekapan pentadbiran cukai semasa.

Selain semakan itu, baru-baru ini LHDN bersama PDRM dan Cybersecurity turut telah melaksanakan beberapa operasi khas Ops Token di sekitar Lembah Klang negara untuk menjejaki ketirisan hasil cukai dalam perdagangan kriptowang.

Maka menerusi langkah drastik ini, semua pihak yang terlibat diberi peringatan untuk mematuhi cukai pendapatan Malaysia. Sekiranya berdepan keraguan akan kaedah pengisytiharan aset tersebut – semua pihak boleh berkungjung ke mana-mana cawangan LHDN berdekatan untuk dapatkan garis panduan yang terperinci.