Artikel

Individu Yang Aktif Dalam Pelaburan Mata Wang Kripto, Perlu Tampil Mengisytiharkan Kepada LHDN

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kini memaklumkan individu yang terlibat dalam pelaburan mata wang kripto – dengan memperdagangkan aset pada pertukaran aset digital (DAX), perlu tampil mengisytiharkan keuntungan aset tersebut.

Tindakan itu hanya tertakluk kepada pihak yang bergerak secara aktif dalam pelaburan aset digital itu.

Laporan The Malaysian Reserve ini mengatakan pelaksanaan tersebut diperlakukan sama seperti pendapatan kekayaan yang dihasilkan menerusi pernigaan konvensional. Tindakan itu selari dengan penguatkuasaan Seksyen 3 Akta Cukai Pendapatan 1967 di mana – apa-apa pendapatan yang terkumpul, diperolehi atau di terima di Malaysia atau di luar negara akan dikenakan cukai.

Bagaimanapun, pihak LHDN tidak memperincikan tindakan selanjutnya akan dilakukan berhubung pengesahan keuntungan dan kerugian yang timbul menerusi penglibatan pelaburan mata wang kripto itu.

Di mana sekiranya urus niaga tersebut lebih memihak keuntungan modal, pasif, jarang dijalankan, atau tidak sistematik, maka keuntungan dari penjualan dan pembelian tersebut adalah pendapatan bebas cukai. Namun sekiranya ia aktif, sistematik dan keuntungan dapat dihasilkan menerusi proses transaksi tersebut maka ia perlu dikenakan cukai pendapatan.

Individu di bawah kategori ini harus mengisi dan menghantar Borang B (individu yang menjalankan perniagaan) sebelum atau pada 30 Jun setiap tahun. Setiap pelaporan nilai aset digital tersebut perlu ditukarkan kepada nilai mata wang Ringgit Malaysia.