Artikel

PayPal Membuang Seramai 2500 Pekerja

Permulaan tahun 2024 menyaksikan sejumlah besar syarikat yang mula mengurangkan pekerja dalam usaha mengoptimasikan kos operasi dan menjadikan perniagaan lebih efisien. Turut tidak ketinggalan adalah PayPal.

Hari ini, firma yang memfokuskan kepada kewangan dan pembayaran berkenaan mengumumkan akan mengurangkan 9% pekerja pada peringkat global, sekaligus memberikan impak terhadap 2500 orang pekerja.

PayPal menyatakan usaha ini adalah dalam memastikan “saiz syarikat sebenar” untuk perniagaan mereka – sekaligus mempercepatkan lagi proses, dan menjana keuntungan.

Pembuangan pekerja yang ramai ini hadir selari dengan pengumuman PayPal baru-baru ini menyatakan akan hadir dengan produk berteraskan kecerdasan buatan.