Artikel

GXBank, Bank Digital Diterajui Grab Kini Mula Ujian Beta – Pada 20,000 Pengguna Terpilih Di Malaysia

Bermula hari ini (14 Nov) GX Bank Berhad, bank digital yang diterajui Grab – kini secara rasminya melancarkan perkhidmatan aplikasi mereka secara rintis kepada 20,000 pengguna Malaysia terpilih.

Umum ketahui, GXBank menjadi platform bank digital pertama di negara yang meraih kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memulakan operasi mereka di pasaran. Kerjasama antara Grab Holdings, Singtel dan rakan konsortium Malaysia termasuk Kuok Group ini ternyata akan merancakkan lagi arena teknologi kewangan negara dalam kemudahan transaksi serta pembiayaan digital.

Pada perkongsian meja bulat bersama Rnggt, GX Bank memperincikan pelbagai ciri akan tersedia pada aplikasi bank digital ini secara berperingkat. Untuk fasa awal, pengguna boleh membuka Akaun Simpanan GXBank dan dapat mencipta sehingga 10 Pockets, iaitu ciri yang membantu pengguna mewujudkan medium simpanan.

Melalui Pockets, pengguna akan meraih faedah harian sehingga 3% setiap tahun dan boleh memantau aliran simpanan mereka serta menerima tatacara mempercepatkan matlamat simpanan mereka dari semasa ke semasa. Tidak hanya itu, manfaat lain yang turut diraih pengguna pada fasa awal ini adalah perolehi pulangan tunai RM20 untuk deposit minimum pertama RM100 pada aplikasi.

Lebih menarik, kelak pengguna GXBank turut dapat menikmati manfaat pengecualian yuran pemprosesan RM1 untuk pengeluaran tunai di mesin ATM MEPS di seluruh negara dan akan meraih pulangan tunai tanpa had bagi setiap perbelanjaan dengan memautkan kad debit anda di aplikasi.

Akses sebegini sudah pasti turut hadir bersama jaminan keselamatan – di mana dengan GXBank, setiap deposit dijamin dilindungi oleh Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) sehingga RM250,000 untuk setiap pendeposit. Malah, aplikasi juga membolehkan pengguna mengehadkan perbelanjaan harian mereka untuk membantu menapis pengguna agar tidak berbelanja secara berlebihan.

Maka melalui penyertaan GXBank pada pasaran kewangan negara ini, ia sekaligus memperkasakan lagi usaha negara untuk membantu rakyat Malaysia khususnya kumpulan yang sering dinafi hak pembiayaan dalam produk kewangan pasaran. Medium ini akan menjadi platform buat rakyat Malaysia mencapai dan meraih kebebasan pada matlamat kewangan mereka secara berperingkat.

Pada pengenalan itu, GXBank menjanjikan lebih banyak ciri baharu akan tersebut buat semua pihak termasuk kumpulan tertumpu seperti perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) bagi meraih akses kewangan yang lebih mudah. Setakat ini, peringkat awal pengujian aplikasi ini hanya tersedia buat 20,000 pengguna sahaja dan untuk rakyat Malaysia yang berminat menjadi sebahagian daripadanya boleh mendaftar pada pautan GXBank – Grab.

Bagaimanapun perlu diingatkan semua pihak penawaran produk kewangan di bawah GXBank ini adalah tidak tertakluk dengan pematuhan syariah berikutan perolehan lesen bank digital GXBank ini di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (APK) bersama dua lesen bank digital lain. Hanya dua pengendali bank digital sahaja meraih pematuhan syariah di bawah lesen Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (APKI) BNM. Susulan itu, menerusi penjelasan ini, diharap pengguna Malaysia peka akan pelaksanaan lesen 5 bank digital di negara.