Artikel

Malaysia Perlu Tingkatkan Pemeriksaan, Penggunaan Beg Plastik Masih Tinggi 

Budaya menggunakan beg plastik dalam kalangan pengguna dilihat masih lagi tinggi, meskipun pengenaan caj RM0.20 sen telah diterapkan dalam pasaran negara. Situasi ini secara jelas menunjukkan tahap pemerkasaan kempen bebas beg plastik tidak memadai buat masyarakat di Malaysia.

Untuk makluman pembaca, mengikut data Persatuan Pengilang Plastik Malaysia (MPMA) – dianggarkan setiap tahun sekitar 9 bilion beg plastik digunakan oleh penduduk negara ini. Angka itu sekaligus menunjukkan berlakunya ketidakseimbangan dalam memecahkan budaya mengguna beg plastik kalangan penduduk negara bersama pemain industri.

Menurut laporan Bernama dalam perincian isu ini bersama Fakulti Sains Kemanusiaan UPSI, masih terdapat pemain industri yang menyediakan beg plastik secara percuma kepada para pengguna. Tindakan itu secara langsung menyebabkan tiada inisiatif mendidik pengguna untuk menyediakan aliternatif beg barangan sendiri. Sedangkan objektif Malaysia adalah untuk mencapai matlamat Tanpa Beg Plastik menjelang 2025 kelak.

Usaha itu berkemungkinan tidak dapat direalisasikan sekiranya masih terdapat segelintir pemain industri, penguatkuasa negeri dan pihak berkuasa tempatan tidak menggandakan langkah pemantauan mereka dalam penggunaan beg plastik di pasaran negara ini.

Namun situasi itu dapat diatasi melalui penambahbaikan dalam agenda kempen. Di mana berdasarkan usaha negeri didapati Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Negeri Sembilan sedang laksana kempen jangka panjang untuk tangani pencemaran plastik sekali guna di pasaran negara.

Tidak hanya itu, kebanyakan jenama pasaraya turut difahamkan telah mengenakan caj ke atas penggunaan beg plastik dan beralih kepada beg bahan yang mudah terurai buat pengguna. Malah terdapat juga premis perniagaan yang tidak lagi membekalkan beg plastik, mengantikan ia dengan penggunaan beg barangan boleh guna kepada pengguna.

Melalui kelangsungan langkah ini, laporan menjangkakan usaha menamatkan penggunaan plastik boleh dicapai namun pemerkasaan kempen perlu lebih kukuh dan peringatan yang berterusan di setiap premis dilihat berupaya membantu pengguna untuk lebih cakna akan isu kelestarian secara berperingkat.