Artikel

KPDN : 60% Daripada 60 Juta Minyak Masak Paket – Diguna Peniaga Yang Tidak Layak Subsidi

Pasaran minyak masak bersubsidi semasa ditegaskan tidak alami ketirisan kesan aktiviti penyeludupan, permintaan yang tinggi ini berlaku susulan berlakunya penggunaan yang tinggi dalam kalangan peniaga mikro yang tidak tergolong selaku penerima subsidi barangan tersebut.

Mengikut perkongsian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada sidang Parlimen semalam, didapati sekitar 60% daripada 60 juta minyak masak paket diguna oleh kumpulan peniaga mikro, dan setakat ini tiada sebarang tindakan dikenakan untuk melandaikan isu terbabit.

Ini kerana KPDN memahami kesan tekanan kos semasa turut menyebabkan berlakunya tekanan harga dalam kalangan peniaga mikro khususnya kumpulan yang terlibat dalam penyediaan makanan bergoreng. 

Bagi penjelasan lanjut, kuota minyak masak paket ialah 60,000 metrik tan setiap bulan – ini 40% daripada keluaran minyak sawit negara dan kuota tersebut hanya tersedia buat keperluan isi rumah di negara sahaja.

Maka melalui pendekatan subsidi bersasar penggunaan minyak masak kelak, KPDN akan mengfokuskan kepada golongan B40, diikuti sebahagian M40 serta peniaga mikro yang terpilih. Setakat ini, dijangka jumlah itu bakal melibatkan 5.8 juta isi rumah di Malaysia.

Seterusnya bagi memperhalusi lagi isu kekurangan bekalan yang diutarakan, KPDN berhasrat meningkatkan pengumpulan data mereka melalui sokongan digital. Ketika ini sebarang semakan dilaksanakan menerusi Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) dan berdasarkan sistem itu tiada rekod ketirisan direkodkan.

Ini sekaligus menunjukkan terdapat aktiviti pembungkusan semula berlaku, yang berpotensi menyebabkan berlaku penjualan harga lebih mahal di pasaran.

Susulan itu, untuk menangani isu ini KPDN menasihati semua pihak agar kemukakan aduan kepada pihak berkuasa bagi membantu pentadbiran mengenalpasti lokaliti yang yang menjual barangan kawalan pada kadar lebihi paras yang ditetapkan.