Ketika ini, tidak sampai 20% pengguna negara yang menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam. Angka ini sekaligus menunjukkan paras itu masih jauh daripada sasaran kerajaan – yang menginginkan 40% penduduk negara memanfaatkan kemudahan pengangkutan awam menjelang akhir 2023.
Pemerhatian Kementerian Pengangkutan (MOT) ini pada laporan secara langsung menuntut pihaknya meningkatkan lagi akses kemudahan pengangkutan awam, di samping memastikan rangkaian infrastruktur pengangkutan negara kekal dalam keadaan baik untuk mengalakkan pengguna manfaatkan dan lebih yakin akan kemudahan yang tersedia.
Namun diakui walaupun peratusan itu kecil, tetapi kadar kesesakan di Lembah Klang masih menjadi isu yang perlu ditangani segera. Melalui usaha itu, ia akan membantu MOT meningkatkan lagi tumpuan perkhidmatan mereka – tidak hanya di Lembah Klang, tetapi meliputi kemudahan pengangkutan awam di seluruh Malaysia.
Bagi Lembah Klang, MOT memaklumkan akan menambahbaik tahap kekerapan perkhidmatan mereka – selain meningkatkan jumlah bas, untuk perkhidmatan tren, yang dijangka kekerapan akan mencapai 3 minit menjelang tahun 2024.
Ini disokong hasil penambahan 27 tren baharu bernilai sekitar RM1.72 bilion. Setakat ini sekitar 11 tren telah diterima dan baki 16 set tren lagi akan diterima secara berperingkat sehingga Disember 2024.
Keperluan ini penting kerana, sebagai perbandingan menurut MOT untuk perkhidmatan bas – penduduk di Lembah Klang adalah sekitar 9 juta individu namun hanya miliki 766 bas. Tetapi Singapura pula miliki 5.5 juta penduduk dan mempunyai 5,500 bas tersedia untuk pengguna mereka. Maka kelompongan ini wajar ditambah-baik negara.
Sementara kualiti perkhidmatan pengangkutan awam di lokaliti lain pula akan diselenggara secara berperingkat bersama sokongan kementerian negeri.