Artikel

Malaysia Sasar Percepatkan Laksana Identiti Digital Nasional – Buat Penduduk Negara

Sepertimana yang dikongsikan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada awal Januari 2022 lalu, seiring dengan matlamat itu kerajaan kini menyatakan komitmen untuk percepatkan agenda Identiti Digital Nasional (IDN) selaku platform pengenalan diri digital buat kalangan penduduk negara.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada sidang Majlis Ekonomi Digital semalam, mengesahkan pemerkasaan program tersebut sedang dilaksanakan. Pihaknya memaklumkan IDN akan menjadi medium pengenalan dan pengesahan diri secara digital merujuk kepada sumber tunggal yang sahih, didasari berasaskan ciri-ciri biometrik individu berkaitan.

Berdasarkan perincian sebelum ini, pelaksanaan IDN akan membantu negara meningkatkan keselamatan identiti pengguna dan menghindari berlakunya penipuan maklumat. Usaha ini turut memberi kelebihan buat ekosistem kewangan negara – di mana secara terus akan meningkatkan tahap keselamatan pengguna dalam pelbagai urusan transaksi.

Mengikut percaturan awal, terdapat potensi IDN bakal diuji menjelang akhir 2023 ini dan dapat dilaksana secara menyeluruh menjelang April 2024 kelak – namun ia masih tertakluk akan ketersediaan negara di masa hadapan.