Artikel

Inflasi Malaysia Semakin Menurun – Tetapi Kenapa Harga Barangan Kekal Mahal?

Beberapa bulan kebelakangan ini, kita dapati aliran kadar inflasi di Malaysia semakin menurun – ia dapat diperlihatkan pada paparan data Indeks Harga Pengguna (IHP) yang menunjukkan setakat Mei 2023 inflasi di paras 2.8%, diikuti Jun 2.4% dan data terbaru, Julai menyaksikan kadar inflasi di Malaysia di paras 2.0%! Angka ini menjadikan ia paras inflasi keseluruhan negara yang paling rendah pada tahun 2023. Malah lebih rendah berbanding paras inflasi ketika pandemik dengan 2022 (3.3%) dan inflasi 2021 (2.5%).

Lebih menarik berdasarkan perbandingan dengan negara serantau pula, Malaysia antara negara yang terendah dalam rekod inflasnyai. Berbeza dengan Filipina (4.7%), Indonesia (3.1%), Vietnam (2.1%), Zon Euro (5.3%), AS (3.2%) dan Republik Korea (2.3%).

Namun melihat pada data ini penulis sedikit bingung – sekiranya benar paras inflasi di negara semakin menurun dan melandai, bukankah sepatutnya kos rakyat Malaysia juga akan semakin berkurangan? Tetapi kenapa penulis sendiri tidak merasa kesan tersebut? Dan mengapa kos sara hidup realitinya ketika ini kekal tinggi? 

Untuk merungkaikan kekeliruan itu, ini beberapa faktor yang wajar difahami pembaca Rnggt berkenaan dengan ketidak saling hubungan antara aliran inflasi dan tekanan kos semasa yang berlaku di Malaysia. 

Apa Itu Indeks Harga Pengguna?

Buat pengetahuan pembaca, Indeks Harga Pengguna (IHP) adalah pengukur kepada paras inflasi utama di Malaysia. Di mana ia menilai perubahan peratusan kos menyeluruh secara bulanan melibatkan pembelian barangan tetap dan perkhidmatan di dalam negara. Jadi disinilah kita dapat melihat perubahan kos secara purata yang berlaku ke atas harga item makanan, pengangkutan, tenaga dan beberapa item utama lain. 

Namun jangan terkeliru, pengiraan inflasi utama adalah tidak sama dengan inflasi teras – iaitu inflasi yang mengukur perubahan dalam harga barang dan perkhidmatan, yang tidak termasuk dengan pengukuran harga makanan segar dan barangan terkawal yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Setakat 7 bulan pertama 2023 ini, nilai mata inflasi teras di Malaysia terus meningkat kepada 128.9 mata. Maka tidak hairanlah sekiranya kos semasa kekal tinggi walaupun inflasi utama Malaysia adalah rendah, ini didorong kesan paras inflasi teras yang masih tinggi.

Apa Pula Bezanya Dengan Kos Sara Hidup?

Secara amnya, kos sara hidup merujuk kepada jumlah perbelanjaan yang ditanggung oleh rakyat Malaysia bagi keperluan barangan dan perkhidmatan – untuk mereka kekalkan taraf hidup pada tempoh tertentu. 

Ini bermakna perbelanjaan atau kos sara hidup rakyat adalah ditentukan oleh corak perbelanjaan mereka. Penulis perlu jelaskan, corak berbelanja ini berbeza mengikut tahap pendapatan isi rumah, demografi dan kawasan kediaman rakyat. Faktor inilah yang meningkatkan lagi tahap perbezaan tekanan kos sara hidup kalangan rakyat negara. 

Tambahan, pengiraan IHP pula tidak mengambilkira faktor kepelbagaian dalam cara pengguna kita berbelanja. Sedangkan IHP pula merujuk kepada petunjuk ekonomi yang lebih luas dalam dasar makroekonomi. Maka situasi ini menjawab kepada persoalan mengapa kadar inflasi tidak mencermin realiti kos semasa rakyat negara. 

Kedudukan Ringgit, Kebergantungan Import, OPR – Cetus Kenaikan Kos Sara Hidup

Terdapat beberapa komponen digarapkan BNM, DOSM dan pemerhati ekonomi dalam isu ini. Antaranya adalah kedudukan mata wang tempatan di pasaran semasa. 

Umum ketahui aliran nilai Ringgit kekal perlahan dan lemah ketika ini, prestasi tersebut secara langsung memberi kekurangan kepada Malaysia pada permintaan import dalam tindakan tukaran mata wang asing. Ini kerana, setakat tahun 2022 – Malaysia mencatatkan aliran import makanan sejumlah RM75.5 bilion

Data di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan ini memperincikan antara jenis makanan import yang tertinggi adalah seperti seperti kopi, koko, teh, rempah, bijirin, sediaan makanan lain, bahan makanan ternakan, dan sayur-sayuran.

Angka ini secara berterusan meningkat, dan dijangka Malaysia berupaya berbelanja sehingga RM100 bilion menjelang tahun 2025 – hanya untuk mengimport makanan. 

Kenaikan ini sekaligus memberi tekanan kepada peringkat pengeluar dan pembekal. Maka secara langsung tekanan itu dialihkan ke atas kos pengguna. 

Sementara pelarasan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang kini di paras 3.00% pula – telah mendorong perubahan kepada kadar faedah jangka pendek, kadar simpanan tetap, kadar pertukaran asing, kadar faedah jangka panjang ke atas komitmen ekonomi semasa. 

Langkah penetapan OPR itu secara terus memiliki pengaruh menjejaskan perniagaan, pekerjaan, harga barangan serta perkhidmatan semasa. Keadaan ini secara langsung terus menekan rakyat Malaysia akan bebanan kos sara hidup semasa.

Sokongan Subsidi, Kawalan Harga Barangan Terpilih – Bantu Inflasi Kekal Di Paras Rendah

Ianya kerana hasil campur tangan kerajaan negara menerusi sokongan subsidi dan kawalan dalam harga barangan terpilih. 

Seperti yang rakyat sedari, kerajaan negara menetapkan kawalan harga siling ke atas harga minyak RON95 pada paras siling RM2.05 seliter. Pelarasan harga petrol tetap yang dikhaskan untuk rakyat Malaysia ini adalah lebih rendah berbanding harga sebenar di pasaran iaitu sekitar RM4.50 seliter. Situasi ini berbeza dengan harga petrol tanpa subsidi seperti RON97 yang lebih tinggi di paras RM3.37 seliter di pasaran.

Sokongan itu secara langsung memperlihatkan indeks harga pengguna dalam komponen pengangkutan di Malaysia turut tidak meningkat malah mengikut data DOSM – setakat Julai 2023, inflasi pengangkutan menurun kepada -0.4%. 

Selain sokongan petrol, pentadbiran negara juga turut menetapkan kawalan harga ke atas barangan tertentu khususnya melibatkan kos makanan seperti minyak masak dan tepung gandum kegunaan am. Langkah ini bertujuan mengimbangi kos barangan keperluan harian pengguna di Malaysia.

Tidak hanya itu, tindakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan – tiada lagi subsidi buat pengguna domestik yang menggunakan elektrik berlebihan pada Mei lalu, secara langsung turut menjimatkan lagi agihan subsidi negara dan meningkatkan semula peruntukan subsidi negara.

Secara menyeluruh, penulis memahami – pasti ramai rakyat Malaysia yang keliru akan paparan maklumat inflasi yang disajikan agensi data di Malaysia. Manakan tidak, paras inflasi semakin melandai namun tekanan kosnya masih dirasai.

Namun perlu diakui pelarasan tahap inflasi ketika ini didasari berasaskan dasar makroekonomi Malaysia – maka ukuran dan penilaian harga barangan, perkhidmatan di negara adalah dilaksanakan secara menyeluruh. Manakala tekanan kos sara hidup yang didepani pula dibezakan dengan kedudukan demografi, corak perbelanjaan, tahap pembandaran serta perubahan kos operasi libatkan harga sewaan dan gaji pekerja. 

Berlandaskan perbezaan ini, isu kenaikan kos sara hidup ini perlu ditangani dengan mengutamakan pendekatan pendidikan dan kesedaran literasi kewangan dalam kalangan masyarakat negara. Selain itu, pihak berkepentingan juga wajar memperincikan cabaran pembandaran yang didepani rakyat negara – merangkumi kos persekitaran, pendapatan, tahap kemahiran, kemudahan serta produktiviti.

Adanya usaha ini, ia sekaligus akan membolehkan rakyat Malaysia meraih taraf hidup yang lebih baik, diikuti nilai tambah yang lebih tinggi dalam pasaran negara tanpa perlu tergugat akan sebarang kenaikan kos di masa hadapan.