Bagi memastikan kebajikan pekerja di bawah industri perkhidmatan penghantaran (p-hailing) terus dilindungi – Kementerian Pengangkutan (MOT) memaklumkan syarikat penyedia berkaitan akan bertemu Perdana Menteri Anwar Ibrahim, pada 8 Ogos ini.
Pada pertemuan itu, dijangka terdapat pelbagai isu akan diketengahkan antaranya melibatkan kemudahan, kebajikan, akses pinjaman ke atas para pekerja. Tidak hanya itu, isu kadar upah juga akan diteliti berdasarkan pelarasan pasaran semasa.
Aturan ini adalah lanjutan daripada matlamat PM Anwar untuk membantu mengurangkan bebanan yang didepani rakan penghantar. Sebelum ini, pada akhir Julai lalu – PM Anwar telah mengumumkan peruntukan RM1 juta bagi melantik sekretariat tidak rasmi untuk menyelaraskan isu berkaitan pekerja p-hailing yang berbangkit ini.
Secara menyeluruh berdasarkan dapatan DOSM sebelum ini, lebih 70% pekerja p-hailing menjadikan kerjaya ini sebagai pendapatan utama mereka dan lebih 97% pekerja ini adalah dalam kalangan kumpulan belia, berusia antara 15 tahun sehingga 30 tahun. Maka usaha membantu pekerja industri ini wajar diketengahkan bagi memastikan kepentingan mereka untuk jangka masa panjang dapat dicapai, di samping membantu negara menyeimbangkan pertumbuhan ekonomi dari semasa ke semasa.
SIARAN MEDIA KEMENTERIAN PENGANGKUTAN
SESI PERTEMUAN YAB PERDANA MENTERI BERSAMA SYARIKAT-SYARIKAT PENGENDALI PERKHIDMATAN PARCEL HAILING (P-HAILING) pic.twitter.com/00IVp2FyFB— Kementerian Pengangkutan Malaysia (@MOTMalaysia) August 1, 2023