Pasaran penghantaran di Malaysia dilihat semakin meluas dan berupaya membantu rakyat negara menyokong pendapatan sampingan mereka, ini termasuklah dalam kalangan penjawat awam negara – apabila didapati sekitar 7% daripada rakan penghantar (p-hailing) adalah penjawat awam.
Mengikut kajian yang dilaporkan, tinjauan di bawah Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) ini telah bermula 1 Mac hingga 31 Disember – menunjukkan peratusan tersebut meliputi angka daripada kumpulan pekerja sambilan penghantaran seramai 4,926 individu. Secara menyeluruhnya dapatan tersebut meninjau sekitar 6,657 pekerja penghantaran.
Daripada jumlah menyeluruh, didapati 70.35% responden mengakui menjadikan kerjaya ini sebagai pendapatan utama, sementara 29.65% iaitu 4,926 pekerja pula adalah sambilan. Ini bererti selain 7% adalah petugas awam,14.23% pula adalah daripada pekerja swasta, 1.46% pelajar dan 1.45% pula pekerja badan berkanun.
Manakala dari aspek usia pula, jelas memperlihatkan sekitar 97.71% pekerja p-hailing ini terdiri daripada kumpulan belia yang berusia 15 tahun sehingga 30 tahun, selebihnya berusia 30 tahun dan ke atas.
Selain penyertaan yang tinggi kalangan warga belia, DOSM turut memperincikan bahagian pendapatan – apabila mendapati pendapatan tertinggi yang diperolehi pada industri ini sekitar RM2,500 – RM3,170 (11.67%), RM1,501 – RM2,499 (26.78%), RM1,500 dan ke bawah (23.39%). Diikuti jumlah jam bekerja juga terdiri daripada 40 jam-84 jam (30.79%), 30 jam-48 jam (25.84%) dan kurang 30 jam (25.42%).
Secara asasnya pembabitan pekerja dalam segmen penghantaran ini dilihat tidak sekadar didorong untuk mengukuhkan pendapatan bulanan mereka, tetapi adalah bertujuan memiliki masa kerja yang lebih fleksibel, dapat menampung perbelanjaan keluarga, miliki simpanan lebih baik dan tidak terikat dengan sebarang kontrak bersama majikan.