Berikutan penetapan status di bawah PN17, cadangan melaksanakan tawaran sebanyak 32.25 juta saham biasa baharu pada harga terbitan RM1.55 sesaham ini dilihat akan membantu struktur kewangan AirAsia X Bhd (AAX) untuk peroleh hasil kasar sekitar RM50 juta daripada tindakan cadangan tawaran tersebut.
Langkah itu dilihat berupaya membantu kedudukan kewangan syarikat untuk membiayai keperluan modal kerja kumpulan. Menurut makluman kepada Bursa Malaysia semalam, penawaran tersebut mewakili 7.78% daripada jumlah saham terbitan kepada AHAM Asset Management, AIIMAN Asset Management dan Lavin Group.
Perolehan hasil itu diperincikan akan diguna untuk kos pengaktifan pesawat sekitar RM23.00 juta, kos penyelenggaraan pesawat RM18.50 juta dan perbelanjaan operasi lain RM7.90 juta.
Berhubung isu PN17, AAX kekal positif akan usaha penyusunan semula struktur kumpulan mereka untuk menyeimbangkan kembali aliran prestasi kewangan.