Artikel

MOT : Pendapatan Pekerja Rakan Penghantar Akan Dikawal Selia APAD 

Rentetan berlakunya isu memanipulasi pendapatan pekerja dalam segmen khidmat penghantaran, Kementerian Pengangkutan (MOT) kini memaklumkan – pendapatan kumpulan ini kelak akan dikawal selia oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Makluman ini dilihat selari dengan Rang Undang-Undang Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2023 yang telah diluluskan pada sidang Dewan Negara semalam, iaitu di bawah Akta 715 yang memperuntukan keputusan kerajaan berhubung kawalselia pada segmen perkhidmatan kenderaan barangan.

Dewan Negara juga turut meluluskan RUU Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2023 yang bertujuan meminda Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987. Di bawah RUU ini ia telah memperuntukan kenderaan khidmat penghantaran sebagai kenderaan barangan  yang tertakluk kepada lesen perniagaan pengantaraan.

Lanjutan tindakan itu menurut Bernama, MOT bersama MIROS – Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia telah merangka draf buat rakan penghantar sebagai persediaan buat mereka dapatkan lesen vokasional khas sepertimana yang telah diusulkan sebelum ini.

Tumpuan lain yang turut ditambah-baik adalah aspek keselamatan serta risiko yang didepani rakan penghantar ketika melaksanakan tugasan mereka. Ia akan dilaksanakan di bawah modul asas bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan dimaklumkan boleh diterap bersama institut memandu dan syarikat penyedia khidmat penghantaran.

Buat pengetahuan umum, langkah itu akan diselia sepenuhnya oleh JPJ dan penetapan bagi kadar fi pula untuk perolehan lesen akan diketahui setelah punca kuasa perundangan dicapai kelak.