Artikel

Lesen Vokasional Khas Untuk Rakan Penghantar, Bukan GDL – Sasar Kos Daftar Bawah RM10

Memahami kekeliruan yang berlaku pada kenyataan sebelum ini, Kementerian Pengangkutan (MOT) semalam (10 Ogos) menjelaskan pihaknya mencadangkan satu lesen vokasional khas untuk rakan penghantar, ia berbeza dengan pemilikan GDL yang disalahertikan sebelum ini.

Buat pengetahuan pembaca, lesen khas ini akan tertakluk di bawah Lesen Vokasional – namun syaratnya berbeza berbanding GDL, PSV dan Konduktor.

Berdasarkan penjelasan Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong, lesen khas ini hanya untuk rakan penghantar (p-hailing) sahaja dan pendaftaran bagi lesen ini diberi jaminan untuk lebih mudah dan dicadangkan kos bayaran tidak sampai RM10.

Malah cadangan awal juga turut memaklumkan terdapat pertimbangan untuk memberi moratorium selama setahun buat rakan penghantar yang terlibat. Bagaimanapun langkah-langkah sedemikian masih diperhalusi dan akan dibahaskan pada sidang Dewan Rakyat kelak.

Selain itu, MOT turut menegaskan tiada sebarang arahan untuk rakan penghantar melakukan pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) – maklumat tersebut adalah tidak benar.

Melalui penjelasan ini, MOT mengharapkan kerjasama semua pihak untuk memahami saranan lesen khas tersebut adalah berbeza dengan lesen di bawah Lesen Vokasional lain dan usaha ini dapat membantu pihaknya mengetahui data secara menyeluruh berhubung jumlah rakan penghantar di negara.

Langkah itu sekaligus dapat membantu rakan penghantar menambah-baik ekosistem pekerjaan dan merangka bantuan bagi memastikan kebajikan rakan penghantar terus terjamin.