Menyedari paras gaji permulaan jurutera di Malaysia yang dilihat lebih rendah berbanding negara luar, Kementerian Kerja Raya kini memaklumkan pewujudan satu jawatankuasa untuk mengkaji semula gaji permulaan jurutera di negara.
Ini kerana ketidakseimbangan penawaran gaji permulaan tersebut berpotensi membawa kepada pengurangan tenaga kerja jurutera di negara dan ia berpotensi jadi faktor utama mengapa golongan muda tidak mahu ceburi profesion jurutera.
Selain meningkatkan kualiti kejuruteraan negara, KKR turut akan bertindak memperkasakan Latihan dan Pendidikan untuk bidang Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi menjadi pemangkin menghasilkan pakar-pakar berkemahiran tinggi untuk Malaysia.
Agenda awal ini secara langsung akan membantu negara mengenalpasti permasalahan awal untuk memulihkan kembali sektor ekonomi negara.
Buat pengetahuan umum, berdasarkan pemerhatian pada September lalu – didapati 35% Jurutera di Malaysia terima gaji permulaan bawah RM2,000. Tinjauan lalu yang dilaksanakan Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) ini sekaligus mencetuskan pelbagai reaksi semua pihak akan perolehan pendapatan yang rendah.