Artikel

Usia Pencen Mungkin Dinaikkan Ke 68 Tahun, Lebih Awal – Di Britain

Seiring ke arah masyarakat menua di seluruh dunia kelak, terdapat kemungkinan Britain menaikkan usia persaraan penduduk mereka dengan lebih awal daripada sasaran asal, iaitu usia pencen 68 tahun menjelang 2030-an.

Pertimbangan awal menurut laporan Mirror.UK ini menjelaskan pada asalnya kementerian Britain meletakkan matlamat pertambahan usia pencen 68 tahun hanya akan berlaku pada 2039 kelak. Namun atas faktor ketidaktentuan ekonomi dunia yang berpotensi menjejaskan simpanan negara, langkah melanjutkan usia persaraan ini dilihat wajar.

Akan tetapi pelbagai aspek perlu diteliti sebaiknya sebelum keputusan bersama dicapai dan dijangka akan diumumkan pada awal 2023 ini.

Melihat pada keputusan tersebut, Malaysia juga antara negara yang ke arah masyarakat menua apabila disasar menjelang tahun 2060 sekitar 20% penduduk Malaysia dijangka menjangkau usia 65 tahun dan ke atas. Lebih membimbangkan faktor penuaan ini tidak akan menggandakan hasil kekayaan negara berikutan pendapatan per kapita Malaysia masih rendah.

Malah pengeluaran KWSP berjumlah RM145 bilion pada beberapa edisi pengeluaran ketika pandemik sebelum ini turut merencatkan lagi simpanan hari tua rakyat Malaysia.

Melihat pada situasi sedemikian, terdapat kecenderungan usia persaraan penduduk Malaysia dinaikkan dan langkah itu berpotensi meningkatkan kadar pengangguran susulan ketiadaan peluang yang mencukupi untuk generasi muda. Sama-sama kita nantikan percaturan pentadbiran Malaysia akan pendekatan yang terbaik berhubung isu masyarakat menua.