Walaupun terdapat pelbagai pendedahan kesedaran berhubung kepentingan miliki instrumen perlindungan untuk para pekerja di Malaysia, namun masih ramai lagi tidak menzahirkan tahap kesedaran tersebut melalui tindakan selanjutnya.
Ketika ini 1 daripada 3 rakyat Malaysia (30%) pada kumpulan usia utama antara 25 tahun hingga 40 tahun mengakui tidak miliki sebarang perlindungan seperti sokongan insurans, termasuklah insurans peribadi.
Apa yang lebih membimbangkan mengikut kajian Impak Pandemik Terhadap Perlindungan oleh Zurich Malaysia ini daripada peratusan tersebut 16% pekerja negara turut mengakui tidak merancang untuk menyediakan wang bagi tujuan sokongan insurans terhadap diri mereka.
Ini perincian lanjut, berhubung pemahaman pekerja di Malaysia akan pemilikan perlindungan;
- 22% memaklumkan tidak memiliki maklumat mencukupi
- 21% merasakan insurans yang disediakan majikan telah memadai
- 18% tidak memahami keperluan insurans secara jelas
- 16% tidak merancang miliki insurans
- 14% merasakan tiada keperluan mendapatkan insurans
- 11% pekerja maklum mereka tidak mampu
- 9% akui miliki tanggapan buruk tentang insurans
Maka melalui aspek tersebut secara jelas, pekerja Malaysia masih lagi miliki tahap kesedaran tindakan yang rendah untuk mengurangkan jurang risiko kehidupan mereka sebagai persediaan untuk berdepan hari tua kelak.
Namun wajar difahami juga, situasi ini turut didorong atas faktor miliki gaji yang rendah, kekurangan simpanan dan tanggungan yang tinggi. Faktor ini telah disahkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) apabila 75% rakyat Malaysia didapati tidak miliki simpanan RM1,000 sekiranya berlaku hal kecemasan.
Sementara 6.62 juta pencarum KWSP yang berusia bawah 55 tahun pula didapati memiliki simpanan kurang daripada RM10,000 setelah negara menilai hasil pengeluaran i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan Pengeluaran Khas.
Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya hasrat untuk memiliki instrumen perlindungan seperti insurans dan takaful diketepikan terlebih dahulu – untuk kumpulan pekerja ini memenuhi keperluan harian mereka.