Artikel

6.62 Juta Pencarum KWSP Bawah Usia 55 Tahun – Kini Miliki Simpanan Kurang RM10,000

Buat pengetahuan semua, tahap simpanan pencarum pada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ketika ini adalah rendah dan sangat membimbangkan. Ini didapati berasaskan data MOF setakat 30 Jun 2022, setelah negara menilai hasil pengeluaran i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan Pengeluaran Khas.

Di mana seramai 6.62 juta ahli (52%) daripada 12.78 juta ahli keseluruhan yang berusia di bawah 55 tahun – kini memiliki simpanan kurang daripada RM10,000.

Lebih kritikal, daripada jumlah tersebut – seramai 4.99 juta ahli (75%) yang tergolong merupakan kumpulan bumiputera.

Sementara itu, seramai 3.2 juta ahli pula yang berumur bawah 55 tahun memiliki simpanan yang sangat kritikal iaitu kurang daripada RM1,000. Dengan 2.58 juta (81%) daripada mereka adalah ahli bumiputera.

Maka sebagai perbandingan, ternyata bumiputera tampil sebagai kumpulan pencarum yang memiliki simpanan kritikal berbanding kumpulan lain. Secara keseluruhan bumiputera mencatatkan jumlah ahli seramai 8.2 juta (64%) daripada 12.78 juta ahli keseluruhan yang berusia bawah 55 tahun.

Ini bermakna kumpulan ahli bumiputera tertumpu kepada jumlah simpanan yang rendah berbanding kaum lain.