Artikel

Jumlah Penduduk Bandar Di Malaysia Bakal Meningkat – Naik Kepada 84% Menjelang 2040

Selari dengan jangkaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa Malaysia akan mencapai populasi penduduk Malaysia sekitar 41.5 juta pada tahun 2040 – ia sekaligus turut mendorong kepesatan yang lebih besar pada jumlah penduduk di bandar negara.

Disasarkan populasi bandar di Malaysia akan meningkat kepada 84% pada tahun 2040.

Perkembangan itu menurut Ketua Setiausaha KPKT Datuk M Noor Azman, akan mendorong kepada persediaan negara dalam menjamin kualiti serta persekitaran kawasan bandar untuk menampung jumlah baharu.

Perlu difahami, apabila berlakunya pertambahan penduduk setempat – kualiti persekitaran dan sektor ekonomi di lokasi tersebut juga perlu ditambah-baik untuk memenuhi permintaan semasa. Ia tidak sekadar menyentuh soal keperluan tetapi kesesakan kawasan juga perlu diambilkira.

Selain itu, perubahan iklim ketika ini juga turut menuntut negara melaksanakan pendekatan yang lebih inklusif – bagi menjamin infrastruktur lokasi kekal terpelihara dan menjamin keselamatan penduduk.

Maka penekanan memerlukan Malaysia memiliki sumber kewangan yang lebih besar, untuk menangani pembangunan di bandar dari semasa ke semasa.