Usaha negara dalam melandaikan era kemiskinan tegar di Malaysia dilihat semakin baik, apabila jumlah kumpulan ini didapati semakin menurun kepada 129,395 isi rumah, setakat 30 September lalu.
Angka ini telah menyusut berbanding data 30 Jun lalu – di mana negara mencatatkan seramai 144,932 ketua keluarga tergolong dalam kategori miskin tegar. Seperti yang umum ketahui, ketidakseimbangan ekonomi telah mengakibarkan 20% isi rumah kelas pendapatan pertengahan M40 beralih ke ambang pendapatan bawah B40 pada tahun 2020 lalu.
Situasi tersebut secara langsung telah meruncingkan aliran perbelanjaan ekonomi Malaysia menjadi lebih terhad dan penggandaan bantuan perlu dilaksanakan.
Maka Menteri Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri – Datuk Seri Mustapa, melihat pengurangan ini berlaku adalah hasil inisiatif secara beransur yang dilaksanakan sektor ekonomi negara. Antaranya pelan pembasmian miskin tegar bermula pertengahan tahun lalu, diikuti sokongan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bersama 8 pakej rangsangan ekonomi yang diperkenalkan kepada umum.
Sekiranya usaha berterusan ini dapat dilaksanakan, Malaysia berupaya mencapai matlamat membasmi kemiskinan tegar menjelang 2025 dan berupaya mencapai pendapatan bulanan isi rumah sekitar RM10,000 dalam tempoh yang sama.