Artikel

Maybank Umum Bakal Beralih Sepenuhnya Daripada SMS OTP Ke Secure2u – Mulai Jun 2023

Maybank pada makluman hari ini (28 September) mengumumkan beralih sepenuhnya kepada kaedah pengesahan lebih selamat daripada SMS OTP ke Secure2u – bermula Jun 2023 kelak.

Langkah ini selari dengan gagasan Bank Negara Malaysia (BNM) yang mengarahkan penerapan kaedah pengesahan yang lebih selamat harus dilaksanakan oleh setiap institusi kewangan utama negara.

Ini bermakna peralihan kaedah pengesahan itu akan melibatkan aktiviti kewangan seperti transaksi dalam talian yang berkaitan dengan pembukaan akaun, pemindahan dana dan pembayaran serta perubahan kepada maklumat peribadi dan tetapan akaun.

Buat masa ini, Maybank hanya membenarkan Secure2u untuk satu peranti bagi setiap pemegang akaun (setiap pelanggan) untuk meminimumkan kemungkinan butiran perbankan dalam talian pelanggan dikompromi atau digunakan oleh mana-mana pihak ketiga. Sebagai langkah keselamatan tambahan, Maybank memaklumkan pelanggan melalui SMS, ‘push notification’ dan e-mel apabila Secure2u telah didaftarkan pada peranti baharu.

Selain itu, Maybank pada suku keempat 2022, Maybank juga akan memperkenalkan tempoh bertenang setelah pelanggan mengaktifkan Secure2u pada peranti berbeza untuk membantu menghalang kelulusan tanpa kebenaran.

Pelaksanaan tempoh bertenang sebelum pengaktifan Secure2u pada peranti mudah alih baharu akan memberikan masa yang secukupnya untuk pelanggan mengesah dan melapor kepada Bank sekiranya berlaku sebarang pendaftaran tanpa kebenaran.

Manakala pengenalan tempoh bertenang untuk pendaftaran kali pertama Secure2u atau apabila peranti baharu didaftarkan pada Secure2u merupakan langkah tambahan yang akan dilaksanakan oleh Bank dalam usaha untuk mengurangkan peningkatan dalam kes penipuan kewangan di seluruh negara dan dalam usaha untuk terus melindungi butiran akaun dan simpanan pelanggan Maybank.

Oleh itu, semua pengguna diminta peka akan perubahan yang bakal dilaksanakan Maybank ini dari semasa ke semasa. Perhatian semua pihak amat digalakkan bagi memastikan segala transaksi perbankan terus lancar tanpa sebarang keraguan.