Artikel

Perak Jangka Lombong Mineral Lantanid – Seawal September Ini

Seperti yang diperkatakan pada akhir Mei lalu, hasil kerja mengestrak bijih timah di kawasan Hulu Perak – usaha itu membawa kepada penemuan mineral baharu iaitu Lantanid, mineral yang sering digunakan pada produk elektronik.

Maka lanjutan daripada penemuan tersebut, Perak dijangka akan memulakan kerja melombong lantanid pada awal September kelak.

Berdasarkan laporan Sinar Harian, aktiviti melombong itu ketika ini masih menanti dua kelulusan daripada pihak berkuasa dan setakat ini pihak kerajaan telah menerima kebenaran daripada Majlis Daerah Gerik untuk membentuk rancangan selanjutnya.

Untuk perincian, penemuan mineral ini adalah di bawah projek rintis di dalam kawasan milik Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak. Meskipun masih di fasa awal, Perak menjangkakan perolehan sumber mineral ini mampu meningkatkan pendapatan baharu kepada negeri Perak, selain membawa pentadbiran negeri ke penerokaan pelaburan baharu kelak.