Ternyata hasil kerja mengekstrak bijih timah di kawasan Hulu Perak – membawa negeri Perak kepada penemuan mineral baharu, iaitu Lantanid. Mineral yang sering digunakan pada produk elektronik.
Penemuan ini menurut laporan Sinar Harian, adalah di bawah projek rintis di dalam kawasan milik Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak. Malah kerajaan negeri mengatakan pihaknya telah memiliki kelulusan Jabatan Alam Sekitar menerusi laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekitar (EIA).
Adanya kelulusan tersebut, ia akan memberi tanggungjawab kepada syarikat terlibat untuk mengesahkan sama ada mineral itu adalah radioaktif atau bukan radioaktif. Jika didapati mineral tersebut bukan radioaktif – ini akan membawa kepada perolehan sumber mineral baharu kepada negeri Perak.
Usaha penemuan itu, secara langsung berpotensi meningkatkan lagi pendapatan kerajaan negeri.
Setakat ini, Perak tidak mendedahkan sebarang data keluasan serta jumlah mineral yang ditinjau – ia masih tidak dapat diumumkan buat masa sekarang.