Artikel

Syarikat Induk Shopee Kini Beli Firma Insurans Indonesia Dan Filipina

Selain memiliki kelebihan dalam perluasan platform e-dagang seperti Shopee, kini syarikat induk Sea terus meningkatkan usaha mereka pada perkembangan segmen insurans – ketika ini dilaporkan berjaya memiliki syarikat insurans di Indonesia dan Filipina.

Berdasarkan makluman, bagi 6 bulan pertama tahun 2022 – Sea telah berjaya memperolehi sebuah syarikat insurans am iaitu Ansuransi Mega Pratama. Sebuah firma insurans yang dikaitkan dengan Andy Indigo – iaitu pemegang saham 49% ShopeePay bagi cawangan di Indonesia.

Kesepakatan Sea bersama Indigo tidak dapat dinafikan lagi – selain perolehan firma insurans, sebelum ini kedua pihak telah bersama melabur dalam pengambilalihan bank Indonesia iaitu Bank Kesejahteraan Ekonomi pada Januari tahun lalu.

Seterusnya, selain Indonesia – strategi perluasan segmen insurans ini turut dapat dilihat berlaku di Filipina apabila, Suruhanjaya Insurans Filipina turut mengesahkan terdapat dua perolehan firma insurans negara tersebut kepada Sea – melalui SeaInsure Private Limited telah berjaya dicapai oleh kumpulan.

Ia melibatkan firma insurans Filipina – AA Guaranty Assurance Co. Inc. (AAGA) dan Reliance Surety and Insurance Co. Inc. (RSI).

Melihat pada kerancakan itu, perkembangan segmen insurans Sea Group sekaligus akan memberi kelebihan kepada kumpulan dalam meningkatkan jumlah pengguna mereka berdasarkan populasi serta kepesatan perniagaan kredit di Indonesia dan Filipina.

Malah, terdapat jangkaan turut menyatakan Sea Group memiliki pilihan sama ada menyertakan ciri pelan insurans – pada platform Shopee atau mengasingkan penawaran tersebut kepada pengguna dalam platform digital yang berlainan.